IVORY COAST 1 AFRIKA SELATAN 0

Jaringan Jonathan Kodjia dalam babak kedua memberi kelebihan kepada Ivory Coast untuk menang 1-0 ke atas Afrika Selatan ketika mereka membuka kempen Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).


Les Elephants terkandas di peringkat kumpulan dua tahun lalu apabila gagal memenangi sebarang perlawanan sebagai juara bertahan tetapi kali ini, mereka meraih tiga mata dalam aksi sulung di Kaherah, Mesir, awal pagi tadi.

Sepakan percuma bintang Lille, Nicolas Pepe, dalam separuh masa pertama menggegar palang dan Ivory Coast terpaksa menunggu sebelum gol tunggal perlawanan itu terhasil pada pertengahan babak kedua melalui ledakan Kodjia.

Jaringan itu menawarkan kemenangan berharga buat skuad bimbingan Ibrahima Kamara itu yang akan berdepan Maghribi dalam aksi seterusnya manakala Afrika Selatan akan menentang Namibia.

Selepas melewati setengah jam permainan, Afrika Selatan mempunyai peluang berharga pertama tetapi tandukan Thulani Hlatshwayo ke penjuru kiri pintu gol susulan satu sepakan penjuru tidak tepat sementara Ivory Coast mula membina momentum menuju masa rehat.

Sepakan percuma Pepe dari jarak 20 ela melantun keluar selepas terkena palang sebelum Ronwen Williams menyelamatkan sepakan percuma jarak dekat Kodjia sebaik permainan bersambung.

Bagaimanapun, penggempur Aston Villa itu tidak mensia-siakan peluang kedua yang dimilikinya untuk menyumbat gol tunggal perlawanan pada minit ke-64.

Dia yang tidak dikawal bijak memanfaatkan lorongan Max Gradel untuk merobek gawang lawan.

Ivory Coast kemudian memasukkan Wilfried Zaha dalam usaha untuk mengukuhkan kedudukan, sebaliknya mereka terus berdebar kerana buntu menokok gol sambil dibantu ketangkasan Williams yang menafikan satu lagi sepakan percuma Pepe.