Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memandang serius kes tunggakan gaji yang melanda bola sepak tanah air, lantas menggesa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan bersesuaian untuk mengatasi kemelut yang sudah kritikal itu.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, mendedahkan Ahad lalu bahawa kes tunggakan gaji pemain di Malaysia merupakan yang tertinggi di Asia.

Ia melibatkan 262 kes daripada 14 hingga 15 pasukan sejak 2016 dan situasi itu memaksa FAM menyekat geran tahunan lapan pasukan yang beraksi musim ini.

Situasi itu turut mendapat perhatian AFC apabila setiausaha agung badan itu, Datuk Windsor Paul, mahu FAM bijak menangani permasalahan itu demi kebaikan bola sepak di Asia.

"Untuk AFC, mana-mana situasi tunggakan gaji sememangnya merunsingkan kerana dalam era profesional, kami harus memastikan gaji pemain dibayar. Pihak FAM perlu menggunakan peraturan serta mekanisme sedia ada untuk menangani masalah ini," katanya.

Kelemahan pengurusan persatuan bola sepak negeri dan kelab dilihat sebagai punca utama terhadap kemelut tersebut dan sememangnya ia memberi implikasi buruk terhadap kancah bola sepak tempatan.

"Perkara ini harus dipandang serius. Sesiapa yang terlibat dalam pengurusan kelab harus faham cara sesebuah pasukan itu berfungsi."