Muka baru skuad B-19 negara, Ramadhan Saifullah Usman, langsung tidak gementar jika terus diberi kepercayaan mengisi posisi sayap kanan selepas mempamer aksi memuaskan selaku watak gantian dalam pertemuan sulung dengan Arab Saudi dalam Kejohanan AFC B-19 di Bekasi, Indonesia.

Ini merupakan panggilan kali pertama buat anak muda dari Johor itu bersama skuad bimbingan Bojan Hodak selepas terpinggir daripada kelayakan AFC B-18 serta Piala AFF B-19, Julai lalu.

Bagaimanapun, ia tidak menghalang Ramadhan untuk tersenarai dalam 23 nama akhir, malah turut dimasukkan dalam baki 21 minit permainan.

Apa yang Ramadhan persembahkan dalam perlawanan itu wajar dipuji kerana langsung tidak gentar menghadapi kekuatan fizikal pemain Arab Saudi.

"Saya mengalami kesukaran ketika awal beraksi bersama pasukan tetapi berjaya menemui rentak dan semakin selesa. Jika saya diberikan peluang untuk berdepan Tajikistan, saya akan memberikan yang terbaik," katanya.

Sementara itu, Ramadhan jujur berkongsi ada dalam kalangan mereka berasa kecewa di sebalik kekalahan 1-2 kepada Arab Saudi, namun akan cuba menjadikan Tajikistan sebagai permulaan kebangkitan pasukan negara.

Hanya tiga mata menjadi sasaran, dia tidak nampak kenapa skuad negara tidak boleh menjinakkan Tajikistan walaupun telah mengejutkan China 1-0 dalam aksi pertama.

"Kami cuba mengambil positif daripada kekalahan kepada Arab Saudi. Kami akan cuba mengambil tiga mata penuh ketika berdepan Tajikistan sebelum membuat persiapan menghadapi China."