Ketua jurulatih skuad B-19 negara, Bojan Hodak, merumuskan laluan yang akan dihadapi skuad negara dalam saingan Kumpulan D, Kejohanan AFC B-19 cukup unik kerana bakal melalui cabaran dari tiga rantau berbeza.

Hodak memerlukan tiga perancangan berbeza apabila bertemu China, Arab Saudi dan Tajikistan memandangkan ketiga-tiga pasukan mempunyai corak permainan berlainan.

Justeru, beliau tidak menafikan ia satu cabaran buat dirinya, tambahan pula China dari rantau Asia Timur memiliki kualiti teknikal yang baik manakala Arab Saudi ada kekuatan daripada segi fizikal.

"Barisan pemain saya tidak mempunyai pengalaman menghadapi corak permainan berbeza-beza.

"Ia sebagai persediaan kami untuk menghadapi Arab Saudi manakala sempena persediaan menghadapi Tajikistan, kami akan cuba mengatur aksi yang lebih bercorak fizikal," kata jurulatih kelahiran Croatia itu.

Skuad B-19 negara berlepas ke Muscat, Oman, semalam untuk menghadapi tiga perlawanan persahabatan sehingga 10 September ini.

Ketiga-tiga aksi itu membabitkan pasukan Divisyen Satu Oman yang terdiri daripada Suwaiq, Oman Club dan Muscat Club.

"Ketiga-tiga perlawanan akan diadakan di Muscat.

"Mereka adalah pasukan mantap divisyen satu yang mampu menawarkan aksi sengit kepada anak buah saya.

"Mereka mempunyai permainan berbeza daripada kami. Mereka seperti pasukan Arab Saudi, kuat dan memiliki kemahiran tinggi.

"Bagus untuk anak buah saya untuk menimba pengalaman baru," katanya.