Ketua Menteri Melaka yang baru, Adly Zahari, mengesahkan beliau berminat menggalas tugas sebagai presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA).

Berdasarkan perlembagaan, Ketua Menteri secara automatik dilantik selaku presiden dan beliau bersedia bekerjasama dengan pengurusan sekarang, termasuk Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi yang merupakan timbalan presiden MUSA.

"Saya akan mengambil tanggungjawab sebagai presiden MUSA. Saya percaya Melaka boleh menduduki tangga lebih baik.

"Saya akan menggunakan seluruh keupayaan pengurusan untuk bekerjasama dengan pihak MUSA," katanya.

Adly dalam masa sama memberi bayangan akan membantu MUSA sepenuhnya dalam soal peruntukan, terutama isu pertukaran pemain import pada pertengahan musim ini, namun semuanya bergantung kepada jumlah penajaan.

"Kami akan berusaha mencari penajaan untuk pasukan ini. Saya yakin potensi kami bergantung kepada bajet yang kami usahakan.

"Kalau mahu meningkat jauh, kami harus berusaha untuk mendapatkan bajet lebih baik. Saya akan gunakan sepenuh kemampuan saya untuk menyokong MUSA daripada segi bajet," katanya lagi.