Adam sedia galas tanggungjawab

Oleh Staff Writer 10 Januari 2018 597
Adam sedia galas tanggungjawab
Pertahanan skuad negara, Adam Nor Azlin, bersedia untuk menggalas tugas sebagai kapten untuk aksi pertama menentang Iraq dalam Kejohanan AFC B-23 di China petang ini susulan keadaan Adib Zainuddin yang mungkin terpaksa diketepikan daripada kesebelasan utama.

Datuk Ong Kim Swee tampak melakukan perubahan kombinasi di bahagian pertahanan berdasarkan sesi latihan di Changshu dan menerusi formasi 3-4-3, jurulatih itu dilihat bakal mempertaruhkan gandingan berbeza Adam, Irfan Zakaria dan Dominic Tan yang mungkin menggantikan tempat Adib di barisan bawah.

Selepas Adib dijangka tidak memulakan perlawanan, Adam yang juga penolong ketua pasukan bakal diberikan penghormatan untuk menyarung lilitan kapten berdepan Iraq.

"Disiplin adalah aspek utama, diikuti  komunikasi antara pemain di barisan pertahanan. Semua bahagian amat diperlukan. Saya berharap pemain-pemain yang diturunkan dapat mempamerkan aksi terbaik," kata Adam.

Dalam masa sama, penyerang kebangsaan, Jafri Firdaus Chew, mengharapkan permulaan lebih baik buat dirinya walaupun mengakui mereka berdepan cabaran getir berdepan Iraq.

"Kali ini, saya akan beraksi lebih baik berbanding di Bangkok sebelum ini. Semua pemain akan berusaha untuk mendapatkan mata. Kami sedar perlu bermain dengan bijak kerana saya akui Iraq mempunyai kelebihan fizikal," katanya.

Sementara itu, skuad Iraq jelas tidak berdepan sebarang tekanan untuk membuka tirai kempen kali ini biarpun akan beraksi tanpa penggempur utama, Aymen Hussein Ghadhban, dan perancang tengah, Ahmed Mohsen Jaber, ekoran digantung perlawanan.

"Kami tiba di China lima hari lalu dan kami memerlukan kemenangan dalam aksi bertemu Malaysia," ujar kapten Iraq, Bashar Resan Bonyan.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen