"Kami ada satu peluang sahaja, jadi kami akan beri yang terbaik."

Begitu kata penjaga gol utama Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, mengenai pertemuan pasukan The Bos Gaurus dengan kelab gergasi Korea Selatan, Ulsan Hyundai, dalam saingan pusingan ketiga kelayakan Liga Juara-juara AFC (ACL) di Stadium Ulsan Munsu, Selasa ini.

Bagi Hafizul, ini kali pertama dia beraksi di peringkat tinggi bersama Perak dan teruja mendapat peluang itu.

"Saya terbabit dalam Kejohanan AFC bersama pasukan kebangsaan tetapi seperti majoriti pemain lain, ini kali pertama untuk pasukan negeri.

"Seperti pertemuan dengan Kitchee SC baru-baru ini, perlawanan kali ini lagi sukar kerana bertemu kelab handalan Liga K.

"Kami tidak ada apa nak rugi, jadi kami akan lakukan yang terbaik," katanya.

Begitupun Hafizul yakin seperti dirinya, rakan sepasukan turut teruja dengan pengalaman baru yang ditimba daripada menyertai kejohanan antarabangsa ini.

"Ini pengalaman baru buat kami, terutama pemain muda, kerana berdepan suasana baru seperti bermain dalam keadaan cuaca sejuk," katanya.

Pemain yang mendirikan rumah tangga pada 30 Disember 2018 itu berkata setakat ini nasib nyata masih menyebelahinya apabila berjaya menyelamatkan dua sepakan dalam penentuan sepakan penalti menentang Kitchee, Selasa lalu.

"Nasib masih bersama saya dalam perlawanan itu walaupun daripada segi persembahan, saya sendiri belum berpuas hati," ujarnya.

Bagaimanapun pemain berusia 25 tahun berasal dari Ipoh itu berharap penyokong terus menyokong perjuangan pasukan dan lebih utama mendoakan kejayaan Perak.

"Doakan kejayaan kami. Kami bukan sahaja bawa cabaran dan maruah negeri tetapi juga negara," tambahnya.