ACL: JDT kandas di peringkat kumpulan

Oleh Staff Writer 22 Mei 2019 5916
ACL: JDT kandas di peringkat kumpulan
GYEONGNAM 2 JOHOR DARUL TA'ZIM 0

Johor Darul Ta'zim (JDT) menamatkan kempen Kumpulan E, Liga Juara-Juara Asia (ACL) di tangga tercorot selepas tewas 0-2 kepada Gyeongnam FC di Stadium Changwoon, Korea Selatan, sebentar tadi.


Kedua-dua pasukan turun dengan kesebelasan terbaik sebagai usaha untuk mencabar tempat ke pusingan kalah mati.

Tuan rumah, Gyeongnam, mempertaruhkan penyerang dari Belanda, Luc Castaignos, selaku penggempur utama manakala JDT pula meletakkan Syafiq Ahmad selaku penyerang utama selepas bekas pemain Kedah itu meraih gol tunggal ketika menewaskan Kashima Antlers 1-0 di Larkin, 8 Mei lalu.

Aksi dalam babak pertama berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan kerap berbalas serangan, namun gagal menemui sebarang penyudah.

Bagaimanapun, Castaignos memecah kubuntuan buat Gyeongnam selepas menewaskan penjaga gol JDT, Farizal Marlias, di 'near post' pada minit ke-65 hasil gerakan 'set-piece' yang dimulakan Lee Kwang Seon.
 
Gyeongnam kemudian menambah gol kedua kedua pada minit-minit terakhir perlawanan menerusi penyudah Takahoro Kunimoto.

Dengan keputusan itu, JDT kekal di tangga tercorot dengan empat mata dan ketinggalan empat mata di belakang Gyeongnam, yang menduduki tangga ketiga.

Tempat teratas kekal menjadi milik kelab China, Shandong Luneng, dengan 11 mata dan akan diiringi juara bertahan musim lalu, Kashima Antlers, di kedudukan kedua dengan kekurangan satu mata. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen