Kelab dari Korea Selatan, Gyeognam FC, optimis mampu menjinakkan Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk membawa pulang tiga mata berharga apabila kedua-dua pasukan bertembung dalam Kumpulan E, Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Pengendali Gyeongnam FC, Kim Jong-boo, melabel kelebihan terletak kepada JDT yang beraksi di laman sendiri selain perlu mengharungi aksi dalam cuaca panas, namun itu bukan halangan buat barisannya dan persiapan rapi untuk menghadapi JDT tampak tidak menimbulkan sebarang masalah.

Keupayaan JDT tewas tipis 1-2 kepada juara bertahan, Kashima Antlers, sesuatu yang mengejutkan kepada Jong-boo biarpun kelab dari Jepun itu tidak menurunkan kesebelasan utama.

Jong-boo juga mengenali corak permainan dan kekuatan skuad Harimau Selatan apabila maklumat mengenai lawan mereka itu disalurkan Do Dong-hyun yang pernah mewakili Kelantan dan Terengganu pada 2017 dan tahun lalu.

Sementara itu, skuad kendalian Luciano Figueroa itu tidak harus dipandang enteng, apatah lagi mereka merekodkan kemenangan mudah dalam lima aksi Liga Super dan masih segar dengan kejayaan menewaskan PKNP FC dengan kesemua awang import berada di tahap terbaik.