Pengarah Sukan AC Milan, Leonardo, berkata kelab Serie A itu masih menilai prospek untuk menandatangani pemain tengah Chelsea, Cesc Fabregas.

Fabregas dikaitkan dengan perpindahan ke Milan bulan depan setelah hanya memulakan satu perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Chelsea yang dikendalikan oleh Maurizio Sarri musim ini.

Pemain berusia 31 tahun itu yang akan tamat kontraknya pada akhir kempen ini hanya membuat empat penampilan liga.

Ditanya mengenai situasi Fabregas di celah-celah spekulasi yang semakin hangat itu berikutan Milan seri tanpa gol dengan Torino di kandang sendiri, awal pagi tadi, Leonardo memberitahu Sky Sport Italia: "Kami sedang menilainya tetapi belum muktamad.

"Kami masih menilai keadaan."

Lucas Paqueta dilihat berada di San Siro apabila pemain sensasi Brazil tersebut semakin hampir untuk menyertai Milan dari Flamengo yang dilaporkan bernilai €35 juta (RM166.8j).

Leonardo menambah: "Mungkin ada sekatan ekonomi, kami akan lihat apa yang berlaku. Perbelanjaan kami tidak seimbang dan sangat negatif. Kami pasti akan melakukan sesuatu dalam pasaran pemain, namun kami tidak akan terburu-buru.

"Sayangnya, isu 'Kewangan Fair Play' menyebabkan kami tertanya-tanya dan sukar untuk kami mengusahakannya. Kami perlu tunggu dan memahami apa yang sebenarnya boleh dilakukan.

"Pemilik mahu melabur tetapi ada batasan yang perlu dihormati," jelasnya.