Kapten skuad negara, Safiq Rahim, bersama 13 pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) digugurkan daripada skuad negara kononnya atas desakan penyokong yang mempersoalkan prestasi mereka dan digantikan dengan sembilan nama baru yang sudah memulakan latihan, hari ini.

Ketika Malaysia dalam persediaan terbang ke Lubnan bagi aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2019, skuad negara dikejutkan dengan keputusan drastik pengguguran 14 pemain JDT, dengan majoritinya dalam kesebelasan utama ketika aksi bertemu Mongolia malam tadi.

Ia kedengaran seperti tidak masuk akal, namun jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, menegaskan keputusan itu dibuat atas desakan penyokong negara yang mempersoalkan kemampuan pemain JDT mempamerkan aksi longlai semalam selain membuka ruang kepada pemain lain untuk membuktikan kemampuan.

"Memandangkan terdapat pihak yang menyifatkan jurulatih bersifat pilih kasih dalam memilih pemain, kali ini kami cuba mengikut kata-kata peminat bola sepak tanah air," kata Cheng Hoe.

Dalam perkembangan berbeza, sembilan nama baru telah dipanggil dan memulakan sesi latihan, hari ini.

Mereka ialah Zaquan Adha Abd Radzak (Kuala Lumpur), Shahrel Fikri Md Fauzi (PKNP FC), Jafri Firdaus Chew, Shahril Saari (PKNS FC), R Kogileswaran (Pahang), Nor Hakim Hassan, Nazirul Naim Che Hashim, Syazwan Zaipol (Perak) dan Syawal Nordin (Kedah).

Malaysia akan berdepan aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2019 dan sebarang keputusan yang berlaku sekurang-kurangnya mampu memperbaiki ranking negara yang kian merudum.

Namun, pengguguran 14 pemain yang majoritinya merupakan pemain utama negara menambah kebuntuan yang sedang dihadapi badan induk itu.

"Walaupun kami telah tidak layak ke Piala Asia, saya mahu memastikan pemain-pemain memberikan tumpuan dan menampilkan persembahan yang terbaik ketika bertemu Lubnan," katanya.