Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, mendedahkan sebanyak lapan hingga 10 pasukan Liga Malaysia sudah dikenakan sekatan geran tahunan daripada badan induk itu setelah Malaysia mencatatkan kes tunggakan gaji pemain paling tinggi di Asia.

Menurut Stuart, sebanyak 262 kes tunggakan gaji dicatatkan sejak 2016 dengan keseluruhannya membabitkan 14 hingga 15 pasukan.

Lantaran itu, FAM terpaksa mengambil tindakan drastik bagi menangani permasalahan itu dengan merujuk keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu.

"Daripada lapan hingga 10 pasukan telah disekat untuk menerima geran tahunan ekoran gagal menyelesaikan tunggakan gaji.

"Kami memberikan masa sehingga pertengahan bulan depan untuk mereka melunaskan sebarang tunggakan sebelum kami lepaskan wang perbelanjaan untuk musim yang baru," katanya.

Ini bermakna agihan kewangan untuk pasukan terbabit tahun ini akan dijadikan cagaran jika gagal berbuat demikian.

Untuk rekod, geran tahunan pasukan Liga Super mula dinaikkan musim lalu daripada RM1 juta kepada RM3 juta manakala pasukan Liga Perdana menerima RM1 juta berbanding RM500,000 musim terdahulu.

"Geran ini harus digunakan untuk musim baru, bukannya menyelesaikan perbelanjaan musim lepas," katanya lagi.