Skuad Harimau Malaya mencetuskan kebimbangan menjelang perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 menentang Hong Kong, Selasa depan susulan kegagalan meraih keputusan positif dalam dua aksi terakhir.

Begitupun, penganalisis bola sepak tempatan, Asmawi Bakiri, berasakan sebaliknya berdasarkan percaturan Nelo Vingada terhadap barisan pemainnya.

Skuad negara mengadakan persediaan lebih rapi untuk bertemu Hong Kong berbanding ketika tewas 2-1 kepada Lubnan dalam perlawanan pertama, Jun lalu.

Namun, skuad kendalian Vingada itu yang dibarisi 11 muka baru gagal mencipta impak apabila tewas 2-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa menentang Syria, 22 Ogos lalu dan tunduk 1-0 kepada Myanmar, Rabu lalu.

Situasi itu mengundang keresahan peminat terhadap prestasi skuad negara, namun Asmawi menyifatkan pendekatan Vingada yang mengekalkan kesebelasan hampir sama dalam kedua-dua perlawanan itu sebagai perkara positif untuk bertemu Hong Kong di Melaka nanti.

"Dalam dua perlawanan terakhir ini, hanya dua pertukaran yang berlaku, iaitu di bahagian serangan dan penjaga gol.

"Oleh itu, ini menampakkan Vingada membuat persediaan untuk berdepan Hong Kong.

"Dia tidak melakukan eksperimen, sebaliknya mengekalkan pemain yang akan mengharungi permainan sebenar.

"Ia satu petanda yang positif," ujarnya.

Asmawi, bagaimanapun, berasakan skuad negara perlu memperkemaskan beberapa aspek, antaranya fokus pemain sepanjang permainan dan ketajaman penyudah.

"Hasil daripada persiapan dalam dua perlawanan ini, mereka perlu memperbaiki peluang yang terhidang menerusi permainan terbuka mahupun situasi bola mati."

Kredit imej: Football Association of Malaysia (Official)