Persatuan Bola Sepak Melayu Terengganu (PBSMT) Lanjerket dan Island FC melonjak ke dua tangga teratas Liga Amatur Terengganu (TAL) selepas menewaskan lawan masing-masing, kelmarin.

Dalam aksi di Kompleks Sukan Gong Badak, Island FC terpaksa menanti sehingga minit ke-90 untuk mengesahkan kemenangan 1-0 ke atas Perkasa Alam.

Sepakan percuma Tuan Borhan Tuan Yusof pada penghujung permainan itu memadai buat pasukannya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam enam perlawanan mengumpul 12 mata.

Namun, kelebihan perbezaan jaringan berpihak kepada PBSMT yang menang selesa 3-0 mengatasi Gemuda FC di Kampung Banggol Katong.

Turut memungut 12 mata, PBSMT memimpin carta TAL yang kini berbaki empat perlawanan.

PBSMT dan Island FC diekori rapat pasukan kedudukan ketiga, Markless Kebilal dengan 11 mata selepas terikat 1-1 dengan CND FC.

Turut berkesudahan seri ialah dua lagi perlawanan menemukan Delima Warriors dan Separa Elit Akademi Terengganu serta Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Pemanis dan TFFC dengan jaringan 1-1.