Pemain dan pegawai pasukan Miri FC menempuhi detik cemas selepas bas dinaiki mereka terbabas di Kilometer (KM) 34, Jalan Keningau-Papar, di Kimanis, pagi tadi.

Bagaimanapun, kesemua 24 pemain, tiga jurulatih dan seorang kanak-kanak yang menaiki bas terbabit tidak mengalami kecederaan serius dengan kesemua mereka mereka diberi rawatan dan pemeriksaan di Hospital Papar selepas kejadian itu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata mereka menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.55 pagi.

"Kesemua penumpang bas terbabit dalam perjalanan balik ke Kota Kinabalu selepas perlawanan dengan Keningau FC di Kompleks Sukan Keningau, semalam.

"Dalam kejadian itu, seorang wanita yang juga jurulatih pasukan berkenaan turut pengsan, namun telah diberi rawatan awal oleh pasukan perubatan Hospital Papar," menurutnya dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu, hari ini.

Difahamkan, pasukan Miri FC bertolak dari Keningau pagi tadi kerana jadual mereka balik ke Miri ialah pada jam 4 petang ini.