Aidil Zafuan Abdul Radzak, S. Kunanlan dan Amirulhadi Zainal berharap kehadiran mereka direstui peminat selepas disenaraikan kembali bersama skuad kebangsaan.

Aidil yang sebelum ini pernah diberi peranan ketua pasukan dalam skuad kebangsaan enggan memikirkan terlalu serius kecaman negatif daripada penyokong.

Baginya, dia ada sebab tersendiri mengambil keputusan untuk bersara Julai tahun lalu dan memikirkan ini detik terbaik kembali menganggotai skuad kebangsaan.

"Kepada yang komen negatif, itu adalah hak masing-masing dan saya tiada masalah dengan isu itu. Sebaliknya, saya melihat itu sebagai cabaran untuk lebih berjaya bersama skuad kebangsaan.

"Saya ikhlas untuk membantu skuad negara," jelas Aidil.

Bagi Kunanlan dan Amirulhadi, mereka berdua tidak menafikan rindu suasana bersama skuad negara selepas hanya menonton persembahan pasukan di kaca televisyen, terutama semasa saingan Piala AFF 2016.

"Saya merindui suasana itu. AFF satu kejohanan besar, masa menonton di kaca televisyen, saya berasa sedih," ujar Kunanlan.

Amirulhadi pula mengakui perlu bekerja lebih keras.

"Saya kena kerja lebih keras lagi selepas ini bagi merebut tempat dalam skuad kebangsaan," katanya.

Pemain perancang, Safiq Rahim, turut disenaraikan oleh jurulatih baharu kebangsaan, Nelo Vingada, menjelang pertemuan Kumpulan B, Pusingan Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lubnan.