Kegagalan skuad bola keranjang lelaki negara dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu, memaksa Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) melakukan sesuatu di luar jangkaan.

Badan induk kebangsaan itu menyerahkan program lelaki sepenuhnya kepada Negeri Sembilan Matrix untuk mengembalikan kegemilangan negara di Asia Tenggara.

KL2017 menyaksikan skuad lelaki tersingkir di peringkat kumpulan yang melanjutkan kemarau ke final sejak Sukan SEA 2007.

Menyerlahkan dasar MABA bagi mengumpul pemain hanya untuk satu-satu kejohanan sudah tidak memberikan pulangan.

NS Matrix menerusi limpahan kewangan pula sudah membuktikan kredibiliti di peringkat domestik.

Bertunjangkan pemain bertaraf kebangsaan, mereka mengungguli Piala Agong secara berturut-turut bermula 2016.

"Kami harus mencuba dengan beberapa pendekatan berbeza. Jadi, kami boleh menampilkan pendekatan terbaik untuk pasukan lelaki.

"Sekarang ini, mereka mempunyai pemain utama dan tonggak muda yang menjadi pemain masa depan kita.

"Gabungan ini berjalan baik. Jadi, kami akan mengekalkannya untuk ke Sukan SEA 2019. Itu juga menjadi kejohanan tumpuan kami. Sasaran kami bukan hanya bagi tahun ini," kata Presiden MABA, Datuk Lua Choon Hann.

Susulan penjimatan dana daripada kerjasama ini, ia akan memberikan MABA ruang untuk menganjurkan lebih banyak kejohanan tempatan dari peringkat akar umbi sehingga elit.

"Dengan itu, saya percaya ia cara latihan yang lebih efektif. Sudah tentu, tanpa mendedahkan pemain dengan pertandingan, tidak memberikan elaun, kami lebih jimat daripada segi kewangan," kata Choon Hann lagi.