PBA anjur dua kejohanan cungkil bakat bola keranjang

Oleh Azizan Hashim 7 September 2019 80
PBA anjur dua kejohanan cungkil bakat bola keranjang
Persatuan Bola Keranjang Perak (PBA) akan menganjurkan dua kejohanan, iaitu Bola Keranjang 3 Lawan 3 dan Liga Perak bulan ini.

Kejohanan 3 Lawan 3 untuk merebut Piala Pusingan Howard, hujung minggu depan, di Gelanggang Bola Keranjang Pasir Pinji Riverside manakala Liga Perak akan bermula dari 28 September sehingga 22 Disember depan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan dan Pembangunan Modal Insan Negeri, Howard Lee Chuan How, berkata program julung kali diadakan itu turut mendapat sokongan daripada pejabatnya.

Katanya, perlawanan Piala Howard bertujuan untuk mencungkil bakat-bakat baru dalam sukan bola keranjang.

Selain itu, pertandingan itu juga bertujuan untuk meningkatkan minat pemain-pemain yang baru mengenali sukan bola keranjang dengan lebih dekat.

Ia juga akan menjadi pentas bagi mendapatkan pemain-pemain pelapis, khususnya di negeri Perak.

Terdapat lima kategori yang bakal dipertandingkan dalam kejohanan itu, iaitu bawah 16 (B-16) tahun lelaki, B-18 lelaki dan wanita serta terbuka lelaki dan wanita.

Bagi kategori B-16 dan 18, tidak lebih daripada seorang pemain yang pernah wakili negeri atau negara sahaja dibenarkan didaftarkan.

Pemenang tempat pertama untuk semua kategori lelaki dan wanita B-16 dan B-18 akan menerima RM800 serta medal, tempat kedua RM400 dan tempat ketiga RM200.

Sementara itu, kategori terbuka pula menawarkan hadiah RM1,200 kepada juara, RM600 (kedua) dan RM300  (ketiga).

Mengenai liga, Chuan How berkata ia akan disertai lapan pasukan, iaitu Kinta, Kuala Kangsar, Taiping, Kerian, Hilir Perak A dan B, Manjung serta Kampar.

Kejohanan berkenaan dijalankan secara dua pusingan di semua gelanggang di daerah masing-masing. 

Jurang umur di antara pemain senior dan junior juga akan dieratkan dengan pengenalan peraturan melibatkan pemain B-18 untuk turut sama mewakili pasukan daerah.

Perasmian pembukaan akan diadakan di Gelanggang Bola Keranjang Sungai Siput (U) pada 28 September manakala upacara penutup diadakan di Stadium Indera Mulia, Ipoh. 

Kejohanan tersebut terbuka kepada semua pemain yang pernah mewakili negeri Perak. 

Selain itu, pasukan yang bertanding dibenarkan untuk menggunakan dua pemain dari negeri lain.

Johan bakal menerima RM5,000 dan tempat kedua bernilai RM3,000 dan tempat ketiga serta keempat masing-masing menerima RM2,000 dan RM1,000.

Terdapat juga anugerah lain seperti Pemain Paling Bernilai (MVP), penjaring terbanyak, 'Top Rebounder', 'Top Assist' dan pemain terbaik B-18.

 

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen