MPL: Westports jejas rentak Farmco 

Oleh Staff Writer 7 Julai 2019 39
MPL: Westports jejas rentak Farmco 
Hasrat Farmco Touch Up untuk melangkah ke play-off Liga Bola Keranjang Profesional Malaysia (MPL) sebagai pilihan utama tidak kesampaian selepas tewas mengejut kepada pasukan yang sudah tersingkir daripada perebutan kejuaraan, Westports Malaysia Dragons.

Farmco memulakan hujung minggu terakhir MPL di Stadium MABA, petang tadi, sebagai pasukan di puncak liga.

Bagaimanapun, mereka berada di kedudukan wajib menang dalam perlawanan terakhir pusingan liga susulan tewas kepada NS Matrix.

Farmco meletakan harapan kepada kudrat import, Kyle Locke, dalam pertemuan penting  itu sementara sandaran Dragons tertumpu kepada bekas bintang NS Matrix, Kuek Tian Yuan dan Simon Lepichev.

Selepas suku pertama, Farmco sedar mereka dalam bahaya walaupun ketinggalan hanya tiga mata di kedudukan 22-19.

Penguasaan Dragons berterusan dalam suku berikutnya untuk terus memberi tekanan kepada Farmco yang menyaksikan gandingan Tian Yuan dan Lepichev merekodkan 33 mata untuk memastikan kemenangan mutlak 66-59. 

Bagi kapten Dragons, Loh Shee Fai, ini merupakan pulangan terbaik untuk mereka menamatkan kempen MPL musim 2019 selepas gagal ke peringkat play-off.

"Kami sudah pun tersingkir ke peringkat play-off dan meskipun ini adalah perlawanan terakhir, kami bekerja keras, baik daripada segi serangan mahupun bertahan. 

"Kami bukannya bertujuan untuk menjejaskan Farmco, sebaliknya memberikan cabaran kepada mereka.

"Kalaulah kami memulakan saingan awal musim ini dengan lebih baik, sudah pasti kami boleh mara," katanya. 
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen