MATRIX 76 DRAGONS 57

Aksi minggu pertama Liga Bola Keranjang Profesional Negara (MPL) menawarkan petanda tiada laluan mudah buat dua pilihan juara, Westports Malaysia Dragons dan NS Matrix, untuk ditabalkan sebagai juara edisi sulung.


Dragons dan Matrix berentap seawal perlawanan kedua liga selepas melalui nasib berbeza dalam aksi pembuka tirai, semalam.

Dragons menempah kemenangan hasil kerahan keringat ketika mengatasi JD Unicorns 62-60 sementara Matrix dikejutkan Red Baron dengan kekalahan 64-69.

Bagaimanapun, peminat bola keranjang tanah air yang mengharapkan aksi sengit di antara kedua-dua pasukan itu di Stadium MABA hari ini, sedikit dikecewakan.

Sebaliknya, Matrix mendominasi sebahagian besar perlawanan meskipun Dragons terlebih dahulu memimpin babak awal suku pertama.

Ditunjangi Ong Wei Yong, Matrix membuatkan Dragons berputih mata dengan kemenangan 76-57.

Keputusan itu memaksanya untuk menerima hakikat bahawa MPL akan menjadi satu kejuaraan yang sukar ditawan enam pasukan musim ini.

"Kemenangan ini hasil kerjasama pasukan.

"Kami sepatutnya menang semalam tetapi kami melakukan beberapa kesilapan, kami belajar daripada kesilapan itu.

"Permainan lebih memihak kepada kami tetapi saingan musim ini adalah sukar," kata Wei Yong.