Liga Bola Keranjang Profesional Malaysia (MPL) menjadikan liga ikonik Amerika Syarikat, NBA, sebagai sandaran dalam usaha penganjuran tempoh jangka panjang.

Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) hanya bertindak sebagai pengelola bagi MPL dalam edisi 2019.

Sebaliknya, kelab-kelab MPL diberi kuasa penuh dalam pembentukan liga profesional ini.

Model perniagaan mirip NBA itu bertujuan memastikan kelangsungan liga dan tidak bergantung kepada MABA bagi pencarian dana.

Inisiatif itu diharapkan dapat melahirkan tambahan kelab profesional sepenuh masa selain Westports Malaysia Dragons dan NS Matrix.

"Setiap pasukan menjadi pemilik dalam liga ini.

"Dengan langkah ini, setiap pasukan lebih komited dengan kelab.

"Ini bermakna mereka perlu mengambil kira pelan pemasaran, penjenamaan pasukan dan daripada situ, kelab boleh mencari dana untuk kekalkan kelangsungan," ujar Pengurus Besar MABA, Ken Yap.

Saingan MPL musim ini, yang membabitkan enam pasukan lelaki dan empat pasukan wanita, bermula 7 Jun sehingga 7 Julai ini sebelum perebutan kejuaraan ditentukan menerusi aksi play-off.