Malaysia NS Matrix gagal mengekalkan rentak kemenangan dalam saingan Piala Seri Mutiara 2017 selepas tumpas di tangan Croatia KK Split 102-93, hari ini.

Selepas merekodkan dua kemenangan berturut-turut dengan menewaskan Guangzhou Securities dan Taiwan Fubon Braves, skuad negara turun dengan misi mengekalkan rekod bersih.

Malangnya, usaha itu gagal apabila NS Matrix ketinggalan 17-26 dalam suku pertama.

Wakil negara tampil lebih kemas dalam suku kedua menerusi Keith Randell, Jeff Alvin Viernes dan Joseph John yang berjaya merapatkan jurang 43-46.

Pertarungan makin rancak dengan KK Split enggan mengalah untuk menyerlahkan dominasi, sebelum skuad negara mengikat kedudukan 69-69.

Bagaimanapun, jaringan tiga mata yang diraih wakil Croatia itu menjadi pemisah, untuk KK Split kekal meneraju permainan 72-69 memasuki suku keempat.

Randell mempamerkan aksi bertenaga untuk memastikan Malaysia mengejar kedudukan bagi mengikat kedudukan 90-90.

Namun, kutipan enam mata berturut-turut oleh KK Split menyaksikan kelab Croatia itu mengesahkan kemenangan.