MABA tekad bentuk skuad tiga sepasukan 

Oleh Staff Writer 27 Julai 2017 234
MABA tekad bentuk skuad tiga sepasukan 
Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) ingin memberi lebih tumpuan kepada acara tiga sepasukan (3-on-3) dengan peluang untuk menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020 masih terbuka luas.

Acara 3-on-3 masih belum mencapai populariti yang sama seperti lima sepasukan yang lazimnya dipertandingkan dalam kejohanan peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun, Persekutuan Bola Keranjang Antarabangsa (FIBA) sedang giat mempromosikan acara itu yang turut bakal dipertandingkan dalam Sukan Olimpik buat julung kalinya.

Acara tersebut juga akan disenaraikan dalam Sukan Asia 2018 dan MABA bertekad memastikan satu pasukan mantap dapat dibentuk.

"Dalam Kongres Pertengahan Tahun FIBA di Singapura, kami mahukan pemain yang fokus 100 peratus dalam acara tiga sepasukan dan bukannya bermain dalam lima sepasukan.

"Tahun depan acara ini akan dipertandingkan dalam Sukan Asia dan Olimpik, jadi kami mahu membentuk satu pasukan yang akan bertanding dalam kejohanan ini," jelas Timbalan Setiausaha Agung MABA.Sim Sin Heng.

Antara langkah yang diambil MABA ialah dengan menganjurkan Sirkit Kebangsaan Tiga Sepasukan bermula 6 Ogos depan di Bentong, Pahang.

Beberapa kategori dipertandingkan dengan lapan pusingan akan dilangsungkan membabitkan lokasi di seluruh negara sehingga Disember 2017.

Aksi tiga sepasukan semakin mendapat perhatian dengan terbentuknya kejohanan The Big 3 di Amerika Syarikat yang melibatkan beberapa bekas pemain NBA.

Lahir daripada idea penyanyi rap, Ice Cube dan Eksekutif Hiburan, Jeff Kwatinetz, mereka turut melihat untuk membentuk satu pasukan mantap bagi mewakili Amerika Syarikat di Tokyo nanti.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen