Skuad bola keranjang wanita negara menamatkan kempen Kejohanan Jemputan Antarabangsa Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) tanpa sebarang kekalahan selepas menundukkan kelab Nan Shan dari Taiwan 73-63 dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan, malam ini.

Anak buah Yoong Sze Yuin bermula cemerlang di awal permainan, dengan aksi sengit turut ditampilkan oleh Nan Shan sehingga kedudukan menuju rehat suku pertama hanya memihak
skuad negara dengan perbezaan satu mata sahaja.

Bersambung dalam suku kedua, aksi sengit terus ditampilkan kedua-dua pasukan, namun Malaysia memperkemaskan pergerakan dan berjaya meraih mata melalui Yin-Yin, Hui Pin,
Fook Yin dan Wei Yin untuk keputusan separuh masa pertama 39-33 memihak Malaysia.

Pasukan negara meneruskan rentak cemerlang dalam separuh masa kedua dan selesa mendahului perlawanan bagi melengkapkan suku ketiga dengan keputusan 60-43.

Kelebihan itu memberikan laluan lebih mudah untuk Malaysia mendominasi baki perlawanan, sekaligus meraih kemenangan dengan keputusan akhir 73-63.

Kemenangan ini menyaksikan skuad wanita negara menamatkan saingan selaku juara kumpulan.

Sementara itu, ACBA Dragons menewaskan skuad bola keranjang lelaki negara 63-59 dalam final, sekaligus menjuarai kejohanan.