Michael Jordan, yang berjuraian air mata, menerima tepukan hangat ketika menyampaikan ucapan penghormatannya buat Kobe Bryant di Staples Center awal pagi tadi.

Ribuan penonton memenuhi gelanggang Los Angeles Lakers itu bagi memberikan penghormatan buat Bryant dan anak perempuannya, Gianna, yang terbunuh dalam nahas helikopter bulan lalu.

Vanessa Bryant menyifatkan Kobe, yang meninggal dunia pada usia 41 tahun, sebagai suami sempurna dan anak mereka, Gianna, 13, mampu menjadi pemain terbaik dalam WNBA.

Shaquille O'Neal turut memberikan ucapan yang penuh kedukaan sementara Christina Aguilera dan Alicia Keys mengadakan persembahan sebelum Jordan memberikan ucapannya.


Jordan berkata: "Kobe dan saya merupakan rakan yang amat rapat, dia bukan sahaja sahabat tetapi bagaikan seorang adik buat saya.

"Ramai mahu membandingkannya dengan saya tetapi saya hanya mahu bercakap mengenai Kobe."

Dia menambah: "Dia mempunyai minat yang anda tidak akan tahu. Ia sesuatu yang luar biasa mengenai minat, jika anda cintakan sesuatu, jika anda memiliki minat mendalam terhadap sesuatu, anda akan ekstrem untuk memahami dan mendapatkannnya.

"Kobe Bryant bagi saya adalah satu inspirasi mengenai seseorang yang benar-benar mengambil berat mengenai cara sama ada saya bermain atau cara dia mahu bermain permainan ini.

"Dia mahu menjadi pemain bola keranjang terhebat dan dia boleh melakukannya kerana saya amat mengenalinya.

"Saya mahu menjadi seorang abang terbaik buatnya.

"Untuk melakukannya, anda perlu bersabar dengan gangguan, panggilan lewat malam atau pertanyaan yang bodoh.

"Saya bangga kerana saya tahu Kobe Bryant hanya mahu menjadi seorang yang lebih baik, pemain bola keranjang yang lebih baik.

"Kami bercakap tentang perniagaan, kami bercakap mengenai keluarga, kami bercakap tentang segala-galanya dan dia hanya cuba menjadi yang lebih baik.

"Saya terinspirasi dengan apa yang dilakukannya dan apa yang dia kongsikan dengan Vanessa dan anak-anaknya."

Jordan menamatkan ucapannya dengan berkata: "Apabila Kobe Bryant meninggal dunia, sebahagian daripada saya juga mati.

"Apabila saya melihat di arena ini dan di seluruh dunia, sebahagian daripada anda juga mati, jika tidak, anda tidak akan berada di sini.

"Ini adalah kenangan yang perlu kita hadapi dan pelajari.

"Saya berjanji kepada anda, dari hari ini, saya akan hidup dengan memori bahawa saya memiliki seorang adik yang saya cuba untuk membantunya dengan segala cara.

"Berehatlah dengan tenang adikku."