Skuad bola keranjang lelaki negara terpaksa bekerja keras sebelum meraih kemenangan 76-73 ke atas ACBA Dragons dalam saingan Kejohanan Jemputan MABA dengan mempamerkan drama kejar mengejar mata yang mendebarkan, malam ini.

Di sebalik aksi pantas pemain dari Australia, kemasukan pemain negara bernombor 71, Ong Wei Yong berjaya menyumbang beberapa mata daripada lontaran percuma untuk memastikan suku pertama memihak Malaysia 19- 17.

Saingan sengit diteruskan dalam suku kedua, Malaysia dan ACBA saling mengutip mata sebelum Malaysia memperkemaskan permainan dan mendahului 37-35.

Bagaimanapun, segala-galanya berubah sebaik melangkah ke separuh masa kedua, dengan ACBA mendahului permainan buat kali pertama.

Malaysia tidak berdiam diri dan segera mengejar kedudukan dengan Chan Kek Thai kembali membawa Malaysia di hadapan.

Namun, kelebihan tersebut tidak bertahan ke penghujung suku ketiga apabila Malaysia terpaksa akur ketinggalan 49-51.

Malaysia cuba mencari rentak semula dalam usaha untuk mendahului permainan tetapi kebolehan ACBA ternyata memberikan cabaran yang sengit.

Permainan terpaksa dibawa ke masa tambahan selepas mereka terikat 65-65 selepas tamat suku keempat.

Kekuatan mental memberikan kelebihan kepada Malaysia selepas berjaya meraih mata demi mata sebelum melakar kemenangan 76-73.

Malaysia akan bertemu ACBA Dragons sekali lagi dalam aksi final, esok.

Keputusan lain:

Bola Keranjang Wanita

Malaysia 67 Scotland 64

Kredit imej: Maba International Basketball Invitation