Di atas dasar tanggungjawab terhadap organisasi, Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), Datuk Lua Choon Hann, secara sukarela mengambil cuti bagi memberikan ruang kepada proses siasatan pihak berkuasa.

Keputusan itu dibuat susulan insiden paparan imej Jalur Gemilang dengan bintang pecah lima dalam majlis perasmian Kejohanan Piala Lum Mun Chak B-15, Isnin lalu.

"MABA akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan dengan penyiasatan ini.

"MABA bertekad dengan pendirian bahawa insiden ini tidak disengajakan pihak kami dan adalah disebabkan kecuaian.

"Pihak MABA akan mengambil langkah sepatutnya untuk memperbaiki prosedur persatuan dan meningkatkan kemahiran kakitangan demi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini pada masa depan," kata persatuan itu dalam satu kenyataan.

MABA turut menamatkan kontrak syarikat yang bertanggungjawab mengendalikan tayangan langsung perasmian kejohanan itu.

Insiden itu berlaku ekoran syarikat terbabit telah menghasilkan serta memaparkan Jalur Gemilang yang salah pada skrin diod pancaran cahaya (LED) semasa lagu kebangsaan dimainkan.

"MABA telah menamatkan kontrak mereka pada hari kejadian.

"Pihak kami akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya berdasarkan keputusan siasatan yang sedang dijalankan," tambah kenyataan itu lagi.

-- BERNAMA