Westports Malaysia Dragons sekali lagi membuat rombakan pemain import bagi mencari keseimbangan pasukan untuk mengharungi cabaran Liga Bola Keranjang ASEAN (ABL) bagi musim 2017/2018.

Dragons memulakan kempen musim ini dengan empat pemain import, iaitu Solomon Jones, Marcus Marshall, Reil Cervantes dan Patrick Cabahug.

Begitupun, Jones terpaksa pulang ke Amerika Syarikat (AS) sebelum aksi pembuka tirai menentang kelab Thailand, Mono Vampire, dan tempatnya diganti oleh Curtis Washington.

Jodoh Washington bersama Dragons, bagaimanapun, tidak panjang apabila kedudukannya bakal diisi Allen Jeffrey 'AJ' West Junior manakala Joshua Munzon menggantikan Cervantes untuk kuota import ASEAN.

Munzon bukan nama asing buat Dragons kerana pernah mewakili pasukan itu musim lalu.

"Saya teruja untuk menyambut kepulangan Joshua ke pangkuan pasukan ini. Dia akan menawarkan kelebihan fizikal kepada kami," kata jurulatih, Chris Thomas.

Dragons akan meneruskan kempen ABL dengan aksi menentang Tanduay Alab Pilipinas di Manila, esok.

Dalam masa sama, Munzon menjangkakan tiada masalah untuknya menyesuaikan diri bersama pasukan meskipun Dragons kini dibarisi ramai pemain muda.

"Saya berasa seronok, saya kembali kerana masih ada misi yang belum tertunai di sini," katanya.

"Dragons dibarisi muka berbeza berbanding sebelum ini, mereka lebih dinamik. Saya gembira dengan pasukan ini dan kami akan mengharungi cabaran dengan baik."