Harapan untuk menyaksikan wakil negara, NS Matrix, meneruskan kemaraan ke pentas akhir saingan bola keranjang Piala Seri Mutiara 2017 berkecai apabila terpaksa akur dengan kehebatan wakil China, Beijing Dragon Fly, malam ini.

Permulaan pada suku pertama sudah memberi bayangan bahawa NS Matrix berdepan tugas sukar dengan serangan bertali arus oleh Beijing apabila berjaya memimpin perlawanan hingga tamat suku pertama dengan jaringan 24-16.

Bersambung suku kedua, pasukan bimbingan Wang Xidong itu diberi tekanan oleh NS Matrix menerusi beberapa percubaan.

Namun, Beijing tenang dengan tumpuan pasti kepada pemain utama mereka, Stephon Marbury, yang muncul penyumbang utama kutipan mata untuk mengakhiri suku kedua dengan mendahului 69-58.

NS Matrix cuba memberi tentangan sengit pada penghujung permainan, namun Beijing terus mempamerkan lagak sang juara untuk meneruskan momentum terbaik seperti yang dipamerkan pada suku pertama untuk menang 96-93.

Dengan itu, wakil negara itu akan berdepan LG Sakers dalam penentuan tempat ketiga pada jam 1 petang esok, disusuli aksi perebutan gelaran edisi ke-3 di antara Beijing Dragon Fly dan K.K. Split pada jam 4 petang di Stadium MABA.

Terdahulu K.K. Split menumbangkan LG Sakers 79-76 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Kredit imej: nblasia