Zidane tetap terhebat sepanjang zaman ​

Oleh Hafizal Hamad 1 June 2018 1307
Zidane tetap terhebat sepanjang zaman ​
Ke mana hala tuju Zinedine Zidane berikutnya selepas peletakan jawatannya secara mengejut daripada Real Madrid kelmarin?

Zidane meninggalkan Estadio Santiago Bernabeu dengan rekod gemilang menjuarai Liga Juara-Juara Eropah (UCL) tiga musim berturut-turut dan harus menjadi buruan kelab-kelab utama.

Sembilan trofi dan rentetan rekod tanpa kalah dalam 40 perlawanan melengkapi tempoh dua setengah tahunnya di Madrid yang hampir sempurna – hampir tapi bukan tanpa cacat-cela.

Keputusan menggemparkan yang diambil Zidane untuk meninggalkan Madrid bermakna dia berlalu pergi dengan pencapaian tertinggi yang tidak akan mudah disaingi.

Pengurus berusia 45 tahun itu menjuarai UCL dalam setiap satu daripada tiga musimnya membimbing Los Blancos – jurulatih pertama yang mampu mencapai penghormatan sedemikian.

Ketiga-tiga kejuaraan itu adalah antara rekod paling cemerlang dalam final kejohanan utama, dengan Zidane tidak pernah menelan pahitnya kekalahan.

Zidane turut memimpin Madrid dengan rekod rentetan tanpa kalah dan berikut dipaparkan antara perangkaan utama Opta yang menjulang namanya:

9 – Zidane memenangi sembilan trofi utama, termasuk tiga gelaran Liga Juara-Juara, satu mahkota LaLiga dan dua gelaran Piala Dunia Kelab.

40 – Di antara April 2016 dan Januari 2017, Madrid tidak mengalami sebarang kekalahan – satu rentetan 40 perlawanan yang mencipta rekod baru kelab itu.

70 – Merentasi semua kejohanan, Zidane memenangi 70 peratus daripada perlawanan-perlawanannya ketika bertanggungjawab di Madrid atau 104 daripada 149 perlawanan bersama Los Blancos.

77.8 - Namun, peratus kemenangannya merosot sedikit sejak dia menggantikan Rafael Benitez pada Januari 2016, dengan musim pertamanya menyaksikan Madrid memenangi 77.8 peratus perlawanan mereka dibandingkan dengan 62.9 peratus pada musim 2017-18 yang baru tamat ini.

100 - Zidane meninggalkan Madrid dengan rekod 100 peratus dalam tiga kejohanan – Piala Dunia Kelab, Piala Super dan Supercopa de Espana. Dalam Copa del Rey, yang tidak pernah dimenangi Zidane sebagai pemain, peratus kemenangannya merosot kepada hanya 50 peratus.

393 – Dalam 149 perlawanan dia bertanggungjawab selaku pengurus Los Blancos, Madrid menjaringkan sejumlah 393 gol atau purata 2.6 gol setiap perlawanan.

9 - Madrid tewas sembilan kali di Santiago Bernabeu musim lalu, dua kurang daripada musim 2015-16 dan 2016-17 digabungkan.

3 - Zidane adalah pengurus pertama dalam sejarah untuk menjuarai Liga Juara-Juara – atau dulunya Piala Eropah – tiga tahun berturut-turut. Tiada pengurus lain yang pernah memenangi lebih daripada tiga kejuaraan dalam kejohanan ini.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen