Zaquan ada ramuan kapten 

Oleh Fadzrie Hazis 2 April 2018 3752
Zaquan ada ramuan kapten 
Tanggal 1 April lalu, berakhirlah penantian Harimau Malaya menamatkan kemarau kemenangan yang kali terakhir diraih pada 20 November 2016 berdepan Kemboja dalam Piala AFF Suzuki.

Memang ia sekadar kemenangan 7-0 ke atas Bhutan, lawan di ranking ke-188 dunia dan juga antara pasukan terlemah dalam kalangan negara selatan Asia.

Namun, terdapat beberapa aspek positif yang dijelmakan anak-anak buah Tan Cheng Hoe dan yang paling ketara ialah kelibat kapten dan penyerang utama pasukan, Zaquan Adha Abdul Radzak.

Dalam penulisan sebelum ini, penulis pernah melontarkan harapan untuk Zaquan yang mula cemerlang dengan Kuala Lumpur meneruskan aksi konsisten dengan skuad negara.

Dan siapa sangka, Zaquan mampu menunaikan harapan penulis dengan merakam empat gol berdepan Bhutan.

Sejak penulis mula membuat liputan bola sepak tempatan pada 2003, rasanya belum pernah lagi seorang kapten skuad senior negara meledak empat gol dalam mana-mana aksi barisan negara.

Bagi penulis, penyerang berasal dari Seremban itu kini kemungkinan menghampiri kemuncak prestasinya dengan usia yang akan menjangkau 31 tahun pada 3 Ogos depan.

Potensi awal Zaquan sebelum ini lebih kerap terbatas kerana masalah kecederaan lutut anterior cruciate ligament (ACL). 

Namun untuk dua kali bangkit daripada kecederaan lutut ACL, anda memerlukan perwatakan yang kuat serta seorang pejuang.

Bagi penulis, itulah kekuatan Zaquan dan ia adalah ciri-ciri seorang kapten yang diperlukan dalam skuad kebangsaan kini.

Zaquan yang mula penulis kenali sejak temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2004 di Negeri Sembilan, kini kian matang.

Sejurus ditemui media selepas aksi berdepan Bhutan, Zaquan akui perjalanan masih panjang buat dirinya dan skuad kebangsaan tahun ini.

Memang benar, aksi konsisten dan rekod kemenangan dalam perlawanan persahabatan antarabangsa perlu diteruskan dalam usaha memperbaiki ranking negara di tangga ke 178 dunia kini.

Selain itu, peminat dan pemerhati bola sepak tempatan sudah pasti mengharapkan aksi meyakinkan dalam Piala AFF hujung tahun ini.

Tiada jaminan Harimau Malaya akan terus cemerlang selepas ini namun, apa yang pasti ialah kita sudah mempunyai seorang kapten dengan ciri-ciri pejuang yang amat diperlukan ketika ini.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen