Young Turtles di sebalik Terengganu Turtles

Oleh Azlan Mubin 8 October 2019 3229
Young Turtles di sebalik Terengganu Turtles
Liga Premier bagi saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2019 telah melepasi separuh perjalanan apabila 10 pasukan yang bertanding telah mengharungi sembilan perlawanan pusingan pertama.

Melihat kedudukan pasukan, persaingan cukup sengit, terutama buat tujuh pasukan yang diketuai Penang Black Panthers hingga ATM Guardians di tangga ketujuh kerana jurang perbezaan pungutan mata yang kecil dengan setidak-tidaknya mereka telah mencatatkan lima kemenangan.

Selebihnya, PDRM Defenders di tangga kelapan dengan tiga kemenangan, diikuti Terengganu Turtles dengan satu kemenangan dan Sabah Mountaineers tanpa sebarangan kemenangan setakat ini.

Antara pasukan dalam kelompok tiga terbawah ini, saya tertarik dengan percaturan pasukan Terengganu Turtles.

Walaupun dengan hanya mencatat satu kemenangan ketika menewaskan Sabah Mountaineers 11-21, 21-16, 21-18 dalam minggu kedua, pasukan Pantai Timur itu hadir dengan objektif berbeza.

Saya melihat sebenarnya Terengganu Turtles separuh pemainnya diwakili oleh pemain-pemain daripada Program Young Turtles (YT), yang berusia bawah 20 tahun, iaitu salah satu program pembangunan yang dilancarkan pada Februari lalu.

YT bertujuan untuk melahirkan pemain bertaraf elit dan persiapan menjelang SUKMA 2020 nanti.

Saya perlu tabik dan ucapkan tahniah buat pengurusan pasukan kerana berani menyahut cabaran untuk memberikan pendedahan buat pemain-pemain muda di platform yang kompetitif.

Berdasarkan senarai lapan pemain, Muhammad Aidil Haikal Ghani (19 tahun), Muhammad Amar Roslan (16 tahun), Alif Mursyid Rusli (20 tahun) dan Muhammad Hasmadi Wahab (20 tahun) antara pemain di bawah program YT.

Mereka silih berganti masuk sebagai pemain utama di dalam gelanggang. Walaupun sukar menundukkan lawan yang lebih berpengalaman, mereka mampu memberikan saingan sengit, terutama ketika tewas 1-2 kepada Perak Bison, Johor Tigris dan PDRM Defenders.

Saya percaya kekalahan itu adalah cukup berharga untuk meningkatkan tahap keyakinan mereka untuk beraksi di peringkat tertinggi serta pengalaman ini adalah sebahagian proses pembelajaran dalam melahirkan pemain yang berkualiti.

Sekali lagi, tahniah buat Terengganu Turtles. Biar tewas tapi berani.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen