WWE Money In The Bank 2019: Laluan pintas untuk bergelar juara

Oleh Hafiz Azwany Taher 17 May 2019 1500
WWE Money In The Bank 2019: Laluan pintas untuk bergelar juara
Acara WWE Money In The Bank (MITB) bakal kembali untuk edisi 2019. Sepertimana tahun-tahun lalu, episod kali ini dipersembahkan dengan lebih terampil serta mengujakan.

Bersiaran secara langsung eksklusif di WWE Network pada pagi Isnin ini, tumpuan pastinya terarah kepada perlawanan bertangga Money In The Bank bintang lelaki yang membariskan bintang ternama dan beberapa muka baharu yang semakin menyinar.



Empat bintang Raw iaitu Baron Corbin, Drew McIntyre, Ricochet, dan Sami Zayn akan berentap bersama empat lagi bintang dari Smackdown Live iaitu Ali, Andrade, Juara Antara Benua Finn Balor dan Randy Orton. Braun Strowman yang sepatutnya dijadualkan untuk turut sama dalam perlawanan ini terpaksa melupakan hasratnya untuk bergelar Mr Money In The Bank kali ini apabila Sami Zayn telah menewaskannya dalam perlawanan Kiraan Pin Di Mana Saja hasil bantuan daripada Drew McIntyre dan Baron Corbin di acara Raw dua minggu lalu.

Corbin semestinya ingin menebus kembali kegagalannya untuk merampas kejuaraan walaupun menjadi pemegang kontrak MITB pada 2017. Tidak ketinggalan Randy Orton yang juga pernah memenangi perlawanan ini pada tahun 2013 dan bergelar juara hasil penunaian kontrak untuk merebut kejuaraan secara ‘pintu belakang’ ke atas Daniel Bryan di acara Summerslam beberapa bulan kemudian.

Dengan penyertaan bakat-bakat baharu seperti Ali, Andrade dan Ricochet yang terkenal dengan aksi akrobatik, perlawanan ini dilihat memberi kelebihan kepada mereka. Babak-babak terbang tinggi dan menjulang ke udara bagi menggapai beg bimbit MITB pasti akan tambah menarik dan tidak mustahil, salah seorang daripada mereka berpotensi untuk menang kali ini.



Bagi bintang wanita pula, edisi ketiga perlawanan MITB bakal menyaksikan lapan bintang wanita beraksi menentang sesama sendiri. Amber Moon, Mandy Rose, Dana Brooke, Bayley, Natalya, Naomi dan pemenang tahun 2017 Carmella akan bersaing bagi merebut hadiah yang sama iaitu kontrak MITB yang membolehkan mereka mencabar mana-mana Kejuaraan Wanita tidak kira di mana dan ketika.

Barangkali terjangkit dengan badi rakan regu campurannya Braun Strowman, Alexa Bliss terpaksa menarik diri saat-saat akhir kerana dibelenggu kecederaan dan tempatnya kini digantikan oleh bintang baharu Nikki Cross.


Kejuaraan Universal WWE juga turut akan dipertandingkan. Susulan rombakan bintang Raw dan Smackdown pasca Wrestlemania tempoh hari, penyandang juara Seth Rollins akan menerima cabaran daripada bekas Juara WWE AJ Styles yang dipindahkan dari Smackdown ke Raw.

AJ memperoleh hak sebagai pencabar utama hasil kejayaan mengenepikan cabaran daripada Rey Mysterio dan Samoa Joe di episod Raw pada 22 April lalu. Baron Corbin yang turut beroleh kejayaan yang sama setelah menewaskan The Miz dan Drew McIntyre, kecundang di tangan AJ seterusnya mengesahkan slot The Phenomenal One untuk mengikat janji temu dengan The Architect di acara MITB kali ini.


Juara WWE Kofi Kingston pula akan bertemu Kevin Owens bagi perebutan Kejuaraan WWE. Setelah memperoleh kejayaan cemerlang dengan menumpaskan Daniel Bryan di pentas gemilang Wrestlemania, kini Kofi tidak boleh selesa kerana Owens yang mempunyai pelbagai helah dan tipu daya akan berusaha sedaya upaya untuk merampas kejuaraan yang dimiliki.

Owens begitu licik dengan berpura-pura menyokong pasukan The New Day. Sementelah Big E terpaksa berehat akibat kecederaan, Owens menawarkan diri untuk menggantikan tempat jaguh berotot kekar tersebut dan turut menggelarkan dirinya sebagai Big O.

Rupanya Owen hanyalah musang berbulu ayam. Xavier Woods dan Kofi menjadi mangsa serangannya beberapa minggu lalu di Smackdown, selajur melontarkan cabaran ke atas Kofi untuk mempertaruhkan Kejuaraan WWE di acara MITB.


Tugas berat pula menanti Juara Wanita Raw dan Smackdown Becky Lynch. Setelah menyapu bersih kedua-dua kejuaraan utama wanita di acara Wrestlemania, The Man terpaksa menerima tentangan berganda dengan prognosis kurang enak iaitu kedua-dua kejuaraan berkemungkinan akan terlepas daripada tangannya.

Becky akan berhadapan dengan Charlotte Flair bagi Kejuaraan Wanita Smackdown. Manakala bintang NXT yang kini semakin mekar namanya di Raw Lacey Evans pula akan menjadi pencabar kepada Kejuaraan Wanita Raw. Mampukah Becky menggalas tanggungjawab yang berat ini atau bakal berputih mata dengan kehilangan kedua-dua kejuaraan pada malam yang sama?

Perlawanan lain yang turut akan berlangsung di acara MITB kali ini:
1. Roman Reigns lawan Elias
2. The Miz berpeluang untuk melunaskan kesumatnya ke atas Shane McMahon dalam perlawanan sangkar besi
3. Samoa Joe menentang Rey Mysterio bagi Kejuaraan Amerika Syarikat
4. Juara Beregu Smackdown Rowan & Daniel Bryan bertemu The Usos
5. Tony Nese menerima cabaran daripada Ariya Daivari bagi Kejuaraan Cruiserweight WWE
 
(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Money In The Bank pada 20 Mei ini dan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.


Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen