'Wonderkid' Piala Dunia  

Oleh Ammar Hakim 30 April 2018 5479
'Wonderkid' Piala Dunia  
Piala Dunia sentiasa menjadi platfom buat segelintir pemain muda untuk mempamerkan kualiti sebenar kepada mata dunia.
 
Empat tahun lalu, Brazil telah menjadi pentas buat bintang Colombia, James Rodríguez, mempamerkan aksi cemerlang hingga memberikannya perpindahan bernilai EURO70 juta selepas berjaya diangkat sebagai penjaring terbanyak kejohanan.
 
Berbaki kurang daripada 45 hari, Piala Dunia Russia akan menjadi pentas terakhir buat dua pemain handalan dunia, Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi, dan bakal memberikan ruang kepada pemain-pemain lain untuk menyinar.
 
Jadi, pemain manakah yang bakal menggantikan tempat mereka di pentas tertinggi ini?
 
Marco Asensio (Sepanyol)
 

Pemain berusia 22 tahun ini telah membuktikan kebolehan beraksi sebagai pemain tengah bersama Los Blancos. Menjaringkan 20 gol dalam 81 penampilan bersama juara Eropah itu, dia bakal menjadi pemain utama dalam skuad La Roja dalam usaha mereka untuk kembali merampas trofi Piala Dunia daripada Jerman.
 
Youri Tielemans (Belgium)
 
Memenangi dua kali Anugerah Pemain Terbaik Belgium ketika bersama Anderlecht, pemain berusia 19 tahun ini membuktikan dia seorang pemain yang berpengalaman dan layak untuk bersama skuad Belgium. Bagaimanapun, persaingan sengit bersama bintang-bintang seperti Kevin de Bruyne, Radja Nainggolan dan Eden Hazard bakal menyaksikan terdapat kesukaran untuk berada dalam kesebelasan utama -- tetapi masih berkemampuan untuk mencipta kejutan.
 
Goncalo Guedes (Portugal)
 
Pemain sayap Paris Saint-Germain (PSG) yang mula mempamerkan impak ketika dipinjamkan ke Valencia musim ini, dan kini berada dalam radar Manchester United dan Chelsea untuk dibawa masuk pada musim panas nanti. Menjaringkan empat gol dalam 15 penampilan dalam saingan LaLiga, Guedes benar-benar menggunakan masa terbaiknya dalam usaha memastikan dia mendapat tempat ke Russia.
 
Ousmane Dembele (Perancis)
 
Menampilkan aksi cemerlang bagi musim 2016-17, menjaringkan 10 gol dan 12 bantuan jaringan untuk Borrusia Dortmund membenarkan dia berkelana ke Sepanyol bersama gergasi LaLiga, Barcelona, pada musim ini. Walaupun dihimpit kecederaan hampir separuh saingan, Dembele kini kembali beraksi dan dilihat mampu menampilkan aksi cemerlang buat skuad kendalian Didier Deshamps itu di Russia nanti.
 
Gabriel Jesus (Brazil)
 
Sejak Ronaldo El Fenomeno, pencarian pemain nombor sembilan Brazil menemui jalan buntu -- kehadiran penyerang Manchester City ini seakan-akan tiba tepat pada masanya untuk membuktikan kebolehannya dengan gandingan bersama Neymar dan Coutinho, dalam usaha untuk mengembalikan zaman kegemilangan Brazil di pentas tertinggi.
 
Timo Werner (Jerman)
 
Pada 2013, Werner yang berusia 17 tahun menjadi penjaring termuda Stuttgart. Meneruskan rentak cemerlang itu, Werner menjadi pemain termuda membuat 150 penampilan dalam saingan Bundesliga. Kini berusia 22 tahun dan bersama RB Leipzig, Werner telah meledak 40 gol dalam tempoh dua musim.
 
Leroy Sane (Jerman)
 
Menyinar di bawah kendalian Pep Guardiola musim ini dan membantu pasukan menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL), Sane dilihat sebagai senjata baru buat Jerman. Empat tahun lalu, Mario Gotze meledak gol kemenangan Jerman sebelum menjulang Piala Dunia, mungkin kali ini magis Sane bakal ditampilkan dalam usaha mereka mempertahankan gelaran tersebut.
 
Kylian Mbappe (Perancis)
 
Bintang muda yang menyinar bersama skuad Monaco dengan menjuarai Ligue 1, Mbappe dipinang PSG musim ini untuk bergandingan bersama Edinson Cavani dan Neymar. Aksi cemerlang yang berterusan dan memiliki persamaan seperti Thierry Henry, pemain berusia 19 tahun ini yang boleh bermain di bahagian sayap dan tengah bakal menjadi kunci kejayaan Perancis di Russia nanti.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen