Wenger – tidak akan ada seumpamanya

Oleh Asmawi Bakiri 28 April 2018 794
Wenger – tidak akan ada seumpamanya
Tatkala Arsene Wenger dilantik untuk mengurus Arsenal FC pada September 1986, sebuah akhbar tabloid London mencetak poster yang berbunyi: “Siapakah Arsene?”

Dalam edisi bercetaknya, akhbar itu turut menerbitkan panduan bagaimana sebutan namanya dengan betul sebagai seorang warga Perancis.

Lee Dixon, salah seorang pemain baru di bawah Wenger ketika itu, kemudian mengisahkan tanggapan pertamanya terhadap pengurus berkenaan yang seterusnya mengubahsuai bola sepak Inggeris, dengan keterangan: “Seorang tinggi lampai yang tidak pun menggambarkan dirinya seorang pengurus bola sepak.”

Pada waktu itu – 22 tahun lalu – Liga Perdana Inggeris secara amnya dan Arsenal khususnya, memiliki reputasi sebagai kelab peminum arak yang sangat cergas dan gemar bergaduh. 

Wenger, yang sentiasa membetulkan tali lehernya dengan perwatakan seorang yang sentiasa berfikir secara serius, adalah seorang yang lebih terhormat.

Mereka memanggilnya ‘Profesor’ – asalnya sebagai satu sindiran dan kemudian menjadi pujian apabila beliau menukar mereka daripada sekumpulan buruh kasar menjadi sekumpulan pemain yang sukar untuk ditewaskan.

Wenger telah menukar bagaimana cara permainan Inggeris harus diperkemaskan – dengan mengubahsuai cara mereka harus memikul tugas masing-masing dan melaksanakannya dengan jaya.

Ketika ketibaannya, perkataan “cantik” tidak lagi wujud dalam kamus bola sepak tapi Wenger mengubahnya dengan mengadun satu jenama bola sepak untuk menang dan pada masa sama menghiburkan penonton.

Ketaksubannya dengan pendekatan ideal itu membentuk reputasinya selaku pengurus.

Hakikat bahawa dia enggan berganjak daripada pendekatan itu sekalipun ia tidak lagi memberi pulangan yang dihajati membayangkan Wenger seorang yang paling degil atau pengurus yang paling tidak sinis sepanjang seabad yang lalu. Barangkali juga kedua-duanya.

Sifat semulajadinya turut menjadi bukti itu. Ada yang mengatakan selepas bermastautin bertahun-tahun di London, dia hanya mengetahui dua laluan – padang latihan Arsenal dan stadium mereka di Highbury (sebelum mereka berpindah ke Stadium Emirates kini).

Pada 20 April lalu, Wenger, 68, mengumumkan pendiriannya untuk meninggalkan Arsenal pada akhir musim ini, yang dikhabarkan kononnya kerana dia tidak mahu dipecat.

Gerombolan penyokong yang akhir-akhir ini gemar merentangkan sepanduk atau poster “Wenger Out” bersuka-ria pada mulanya tapi mereka jugalah nanti yang akan meruindui kelibatnya apabila dia sudah berlalu pergi.

Ketara sekali ia menandakan berakhirnya satu era kerana Wenger bukan saja akan meninggalkan satu tugas yang dipikulnya selama 22 tahun tapi turut menguburkan kepercayaan terhadap adanya seorang pengurus sepanjang hayat.

Harus akan tampil lagi pengurus lebih muda yang akan dapat menyamai pencapaiannya tapi sukar membayangkan akan ada sesiapa yang dapat meniru cara dia melakukannya.


 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen