Wenger – pengundurannya tidak terhindar

Oleh 28 April 2018 473
Wenger – pengundurannya tidak terhindar
Pada pagi Jumaat, 20 April lalu, Arsene Wenger menghimpunkan pemain-pemain Arsenal sebelum bermula latihan untuk membuat satu pengumuman mengejutkan.

Selepas 22 tahun selaku pengurus kelab London Utara itu, dia akhirnya akan berundur.

“Kami langsung tidak menjangkakannya,” kata pemain tengah, Jack Wilshere. “Dia masih berbaki setahun dalam kontraknya. Daripada hari saya mengenali Arsenal, Arsene adalah pengurusnya. Saya berasa sangat sedih.”

Sama seperti pemain diberitahu, dunia turut dimaklumkan melalui satu kenyataan daripada pengurus berbangsa Perancis berusia 68 tahun itu: “Selepas pertimbangan yang cermat dan perbincangan dengan kelab, saya rasakan ini adalah masa yang tepat untuk saya berundur pada akhir musim ini.”

Ramai juga yang mengandaikan Wenger sebenarnya dipecat.

“Saya tidak mahu membincangkannya,” jawab ketua eksekutif Arsenal, Ivan Gazidis. “Keputusan sudahpun dibuat, saya fikir ini adalah masanya untuk kita memberi penghormatan kepada Wenger.”

Terlalu banyak, sebenarnya, untuk jasa Wenger diiktiraf walaupun ia lebih berkisar kepada separuh pertama tempoh dia bertanggungjawab selaku pengurus.

Sebelum kepercayaan peminat terhadapnya terhakis gara-gara kemarau kejayaan yang berlarutan, ramai yang amat taksub dengannya buat seorang pengurus yang merevolusikan bukan hanya sebuah pasukan, malah metodologi bola sepak Inggeris keseluruhannya.

Kemuncaknya ialah pada 2004 apabila Wenger tampil selaku hanya pengurus kedua yang mengharungi semusim penuh saingan liga Inggeris tanpa sebarang kekalahan.

Tapi kejayaan barisan "Invincibles" itu adalah kali ketiga – dan yang terakhir – Wenger berkesempatan menjulang trofi Liga Perdana Inggeris. 

Hanya dua kali lagi sesudah itu, Arsenal muncul naib juara. Dan menyusuli tangga kelima musim lalu, mereka berkemungkinan berkesudahan di kedudukan ‘terburuk’ di tangga keenam musim ini.

Kian banyaknya tempat duduk yang kosong di Stadium Emirates musim ini menceritakan kekecewaan dalam kalangan penyokongnya.

Sambil kaedah kejurulatihan Wenger kelihatan semakin lapuk dengan tampilnya ramai pengurus era baru dengan pendekatan taktikal yang lebih ampuh, magis jurulatih berusia 68 tahun itu pula makin lama makin terhakis.

Lanjutan kontrak dua tahunnya yang masih berbaki setahun – ditandatanganinya selepas memenangi Piala FA dengan catatan rekod buat kali ketujuh pada Mei tahun lalu – kini tidak akan terlangsai.

“Detik-detik ini amat emosional dan akan ada masa untuk menghadam kesemuanya tapi perasaan ketika ini rata-ratanya adalah sedih,” kata kapten Arsenal, Per Mertesacker. “Dia seorang tokoh yang amat besar di kelab ini untuk lebih 20 tahun.”

Wenger, bagaimanapun, masih boleh berundur dengan satu trofi terakhir.

Trofi Liga Europa adalah cenderahati terakhir yang boleh ditinggalkan Wenger, yang pasukannya terikat 1-1 dengan Atletico Madrid dalam separuh akhir pertama di Emirates, Rabu lalu.

Andai muncul juara sekalipun, takdir untuk Wenger berlalu pergi daripada Arsenal sebenarnya sudah lama tertulis.

 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen