Wenger – pahit juga penghujungnya

Oleh 28 April 2018 482
Wenger – pahit juga penghujungnya
Sepanjang 22 tahun tempoh Arsene Wenger selaku pengurus, Arsenal menjuarai Liga Perdana Inggeris tiga kali dan Piala FA tujuh kali di samping mara ke final Eropah dua kali hanya untuk tewas kedua-duanya.

Kemuncak kejayaannya haruslah pada musim 2003-04 apabila barisan “Invincibles (Serba Kebal)” kendaliannya, menjuarai Liga Perdana Inggeris dengan rekod tanpa kalah sepanjang 38 perlawanan – pasukan pertama untuk menamatkan saingan tertinggi Inggeris tanpa sebarang kekalahan sejak lewat 1800-an.

Kesudahannya, rentetan tanpa tewas itu berlanjutan kepada 49 perlawanan liga yang kekal menjadi rujhukan sehingga ke hari ini.

Wenger benar-benar bukan seorang yang diberi jangkaan tinggi ketika ketibaannya di England tapi dalam musim penuh pertamanya selaku pengurus, pasukannya melengkapkan kejuaraan berganda dalam Liga Perdana dan Piala FA.

Kejayaan awalnya itu disandarkan kepada usaha mendapatkan pemain yang terlepas pandang oleh pasukan lain seperti Patrick Vieira (Milan), Emmanuel Petit (Monaco) dan Nicolas Anelka (PSG).

Juga dengan memperkenalkan amalan-amalan baru dalam latihan pemain serta kaedah perubatan dan pemakanan.

Tidak ketinggalan, dia turut melanjutkan kontrak pemain veteran, khususnya pertahanan yang diwarisinya daripada pengurus terdahulu, George Graham dan Bruce Rioch.

Dipercepatkan ke hadapan, Piala FA dimenangi pada 2005 tapi ia menjadi piala terakhir Arsenal dalam sembilan musim.

Arsenal, bagaimanapun, kekal dalam kelompok empat teratas dan dari semasa ke semasa, berupaya juga untuk mencabar kejuaraan tapi lazimnya berkesudahan “dekat tapi jauh”.

Pembelian Chelsea oleh Roman Abramovich pada 2003 dan perbelanjaan besar-besaran yang menyusul, turut menyaksikan nasib Arsenal berubah.

Sepanjang tempoh itu, Wenger terus mendapatkan pemain berkualiti dalam pasaran perpindahan tetapi kekurangan yang ketara, khususnya penjaga gol, bek tengah dan pemain tengah bertahan, terlepas daripada pandangannya.

Ia juga tempohnya apabila pemain-pemain bernama besar mula meninggalkan pasukan hinggakan Arsenal menjadi sebuah “pasukan penjual” untuk mengimbangi kedudukan kewangannya bagi membiayai pembinaan stadium baru.                        
Apabila kedudukan kewangan Arsenal bertambah baik, kejayaan pula tidak segera menyusul. Tiga kejuaraan Piala FA pada 2014, 2015 dan 2017 menawarkan sedikit lonjakan, namun tetap gagal menepati jangkaan tinggi peminat di antara 1997 dan 2006.

Di sebalik berbelanja besar untuk pemain buat beberapa tahun kebelakangan, terlalu ramai pemain yang tidak berkembang di samping terlalu sedikit petanda wujudnya pelan menyeluruh yang memungkinkan kejayaan.

Sentuhan emas Wenger juga semakin lekang sebagaimana dibuktikan oleh keputusan dalam saingan domestik dan Eropah yang merudum.

Malah, dua dekad kejayaan layak ke Liga Juara-Juara berakhir setelah hanya menduduki tangga kelima pada 2017 dan tiada jaminan mengisi kelompok enam teratas musim ini.

Ia bukanlah pengakhiran yang diingini Wenger tapi ia juga bukan sesuatu yang mampu dielakkannya – kecualilah Arsenal mampu membuat kejutan menjulang trofi Liga Europa.

 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen