Wenger – cukuplah segala sengketa

Oleh Asmawi Bakiri 28 April 2018 1881
Wenger – cukuplah segala sengketa
Arsene Wenger menuntut pengakhiran yang aman terhadap permusuhan panjangnya dengan Jose Mourinho sambil kedua-dua pengurus itu bersiap untuk bersemuka buat kali terakhir dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Dalam pada itu, pengurus Arsenal itu mungkin belum bersedia untuk menawarkan satu persahabatan indah dengan Mourinho ketika dia mengunjungi Old Trafford esok, yang mengundang sanjungan di luar jangkaan daripada rakan sejawatannya itu.

Mourinho berkata Jumaat lalu bahawa dia mempunyai rasa sesal terhadap “episod dan tutur-katanya” dengan pengurus berusia 68 tahun itu, yang difikirkannya harus berasakan yang sama.

Malah, Mourinho juga pernah menggelar Wenger seorang “pakar kegagalan”.

Pengurus berbangsa Portugis itu yang sering bertegang leher dengan Wenger sejak hari-harinya bersama Chelsea lagi, berkata kedua-duanya mungkin bersahabat suatu hari nanti.

Itupun jika Wenger memiliki separuh rasa hormat terhadap pengurus United itu sebagaimana rasa hormatnya sendiri terhadap pengurus berbangsa Perancis itu.

Wenger, sebaliknya, seakan-akan gembira untuk melenyapkan sebarang sengketa ketika ini di sebalik ketidaksediaannya untuk melanjutkannya kepada satu persahabatan.

“Sudah tentu saya banyak menghormatinya tetapi saya tidak mahu membuat komen secara individu,” kata Wenger seperti dipetik oleh BBC.

“Anda patut tinggalkan saya dengan sedikit ketenangan untuk minggu-minggu terakhir saya dan tidak cuba menekan saya untuk satu konfrontasi terakhir.

“Saya mahu pergi dengan aman, juga dengan Mourinho, kerana dia seorang pengurus yang hebat.”

Ia bermaksud Mourinho harus berpuas hati dengan sekadar lambaian selamat tinggal daripada Wenger buat ketika ini walaupun ini mungkin bukan kali terakhir kedua-duanya akan bersemuka.

“Saya mengucapkan selamat tinggal kepada semua orang. Di Perancis, kami katakan 'au revoir' yang bermakna anda mungkin temui saya lagi,” katanya.

Perlawanan esok juga turut menandakan berakhirnya satu era permusuhan Arsenal-Manchester United yang mendominasi EPL sepanjang dekad pertama Wenger selaku pengurus apabila dia dan Sir Alex Ferguson bersaing sengit untuk kejuaraan setiap musim.

Salah satu detik kemuncak Wenger ialah menjuarai EPL di Old Trafford pada 2002 sambil detik paling mengecewakannya ialah dibelasah 8-2 di stadium itu pada 2011.
“Kami mengharungi beberapa pertarungan hebat sepanjang 22 tahun lalu,” cetus Wenger. “Apabila saya mengingatinya semula, saya menyedari betapa hebatnya pasukan yang mereka miliki.

“Apabila anda fikirkan mereka ada (Ryan) Giggs, (Paul) Scholes, (David) Beckham dan selepas itu, (Cristiano) Ronaldo dan (Wayne) Rooney sebagai pemain-pemain muda – dan anda melihat apa yang dilakukan Ronaldo dan Rooney  kemudian -- ia menunjukkan cabarannya ketika itu sangat-sangat hebat.

“Dan (Ruud) Van Nistelrooy dan semua pemain-pemain ini bersama-sama, mereka memiliki pasukan yang sukar dipercayai,” katanya lagi.

Semua itu, bagaimanapun, hanya mampu dibawa Wenger untuk berlalu pergi dengan kenangan abadi.

 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen