Well done Malaysian Tigers

Oleh Mirnawan Nawawi 27 July 2019 8975
Well done Malaysian Tigers
Tahniah saya ucapkan kepada skuad hoki negara atas kemenangan 4-2 ke atas pasukan nombor tujuh dunia, Jerman, di Krefeld dalam aksi pertama siri Jelajah Eropah.

Walaupun cuma perlawanan persahabatan tetapi ia adalah satu kemenangan yang cukup bermakna buat Malaysian Tigers kerana belum pernah menewaskan Jerman sepanjang tujuh pertemuan sebelum ini.

Kali terakhir bertemu Jerman menyaksikan skuad negara kalah 3-5 ketika aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Dunia 2018.

Apa yang menarik perhatian saya ialah para pemain bukan sahaja menang tetapi berjaya menjaringkan empat gol menerusi satu penalti stroke, dua gol padang dan satu daripada pukulan sudut penalti.

Empat gol Malaysian Tigers dijaringkan oleh Razie Rahim, Faizal Saari, Shahril Saabah dan Meor Azuan Hasan manakala dua jaringan Jerman diperoleh menerusi Tom Grambusch serta Timm Herzbruch, kedua-duanya melalui pukulan sudut penalti.

Apa yang menarik perhatian saya ialah skuad negara bukannya menewaskan pasukan kedua Jerman tetapi boleh dikatakan skuad utama gergasi Eropah berkenaan.

Daripada pemerhatian saya terhadap senarai 18 pemain Jerman, cuma seorang sahaja iaiti Niklas Bruns tidak pernah beraksi dalam mana-mana perlawanan di FIH Pro League.

Baki 17 lagi pemain merupakan sebahagian daripada anggota skuad Jerman yang bermain dalam FIH Pro League walaupun ada di antara mereka cuma beraksi tiga atau empat perlawanan pada kejohanan itu.

Bagi saya, kemenangan ini memperlihatkan hasil latihan keras selama tiga minggu telah berhaya menunjukkan tanda-tanda positif dalam persediaan menghadapi pusingan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada Oktober dan November nanti.

Ia juga merupakan permulaan yang cukup baik buat anak-anak buah Roelant Oltmans untuk mengharungi baki lapan perlawanan siri Jelajah Eropah menentang Sepanyol, Ireland, England, Belanda dan Belgium.

Bagaimanapun, saya berharap para pemain tidak cepat selesa dan terlalu yakin dengan kemenangan ini, sebaliknya meningkatkan lagi tahap permainan dan terus memperbaiki segala kelemahan yang ada.

Apa pun, kemenangan ini pastinya dapat menyuntik semangat dan keyakinan para pemain untuk menghadapi aksi-aksi seterusnya dalam siri Jelajah Eropah.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen