'Wan' pingat skuasy Malaysia

Oleh Sharon Wee 10 April 2018 2596
'Wan' pingat skuasy Malaysia
Nafiizwan Adnan menyelamatkan maruah Malaysia membutirkan pingat gangsa apabila juara dunia lapan kali dan pemenang pingat emas berganda Komanwel, Datuk Nicol David, pulang ke tanah air tangan kosong kali ini. 

Lebih senang dikenali Wan, dia memberi segala tenaga di gelanggang Oxenford Studios menghadapi saingan sengit Joel Makin pemain Wales tetapi menang dalam aksi 3-2 dalam tempoh 81 minit. 

Anak Terengganu di ranking ke-35 dunia itu juga mencatat sejarah muncul pemain lelaki skuasy negara pertama menyumbang pingat Sukan Komanwel acara individu lelaki. 

Berpangkalan di Manchester, di dalam sosial medianya dia juga mencabar pemain muda negara untuk meningkatkan prestasi di peringkat antarabangsa sambil memberi penghormatan kepada idolanya, Nicol, yang sudah cuba yang terbaik namun tidak mampu membutirkan pingat kali ini. 

Saya sempat menghubungi Wan juga rakan sepasukan semasa beraksi untuk Malaysia selama 20 tahun, reaksinya setelah dikalung pingat gangsa Sukan Komanwel 2018. 

1. Makna pingat gangsa ini?
Wan: Amatlah bermakna bagi saya dan pasukan sokongan ketua jurulatih Peter Genever, Andy Whipp, James Simpsons, Carl James, Victoria dan Sean. 
Ia bertambah bermakna apabila persiapan untuk menghadapi atau mencapai pingat ini bukanlah usaha sehari, sebulan tapi bertahun.

2. Dalam situasi sengit set kelima, apa yang difikirkan dalam minda anda?
Wan: Mencari titik tolak untuk kembali kuasai perlawanan. Dalam dua set terakhir, saya lakukan teknik penafasan dan 'reverse psychology'. Bersyukur teknik itu membuahkan hasil.

3. Catat sejarah pemain skuasy lelaki Malaysia pertama rangkul pingat dalam acara individu di Sukan Komanwel. Bagaimana sejarah ini memberi dorongan kepada anda dan pemain muda negara?
Wan: Saya berharap lebih banyak lagi kejayaan yang akan saya capai dan yakin bahawa pemain muda negara mempunyai peluang yang cerah untuk mencatat kejayaan terutama dengan sokongan Program Podium. 

4. Rutin sebelum aksi penentuan pingat gangsa?
Wan: Saya tidur pada 11 malam sehingga pukul 8 pagi, selepas itu makan sarapan yang berkhasiat untuk memulakan hari dengan positif. Tiada rutin istimewa hanya perlu konsisten dengan program seharian. 

5. Bagaimana kejayaan Sukan Komanwel kali ini memberi impak positif kepada diri anda?
Wan: Ia bukan sahaja untuk diri saya tetapi untuk keluarga, komuniti skuasy dan sukan Malaysia serta Program Podium, Persatuan Squash Malaysia dan Terengganu dan Angkatan Tentera Malaysia. Dengan persiapan rapi dan kerja keras, kejayaan dalam kawalan kita. 

Seterusnya Wan akan bermain acara bergu skuasy lelaki bersama Ivan Yuen. Selain menghadapi beberapa kejohanan profesional selepas Gold Coast. 

 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen