Wajarkah Liga M pada bulan puasa?

Oleh Fadzrie Hazis 30 May 2018 2782
Wajarkah Liga M pada bulan puasa?
Musim ini saingan Liga Malaysia (Liga M) yang merangkumi Liga Super dan Perdana kembali dilangsungkan pada Ramadan, ketika umat islam menjalani ibadat puasa.

Sudah pasti banyak pandangan yang sudah kita dengar mengapa ia boleh dilangsungkan pada bulan Ramadan dan mengapa ia tidak wajar dilangsungkan.

Bagi penulis, adalah lebih baik ia tidak dilangsungkan pada bulan Ramadan dan penulis boleh menggariskan beberapa faktor mengapa perlawanan tidak sepatutnya dijalankan :

Kurang Sambutan:

Meskipun sepak mula ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada pukul 10 malam, sambutan peminat kian hambar.

Penulis berkata demikian berlandaskan pengalaman penulis sendiri membuat liputan beberapa perlawanan Liga Super dan Perdana pada Ramadan.

Sebahagian besar peminat lebih gemar beribadat pada Ramadan dan walaupun sepak mula lewat, terdapat juga peminat yang mahu waktu istirehat lebih sebelum berpuasa pada esok harinya.

Pasukan seperti Johor Darul Ta'zim (JDT) yang sentiasa mempunyai sokongan peminat ramai  juga terkesan dengan kehadiran penyokong setia mereka di Larkin pada bulan Ramadan.

Sukar Buat Pemain:

Bagi pemain tempatan beragama Islam yang berpuasa, jelas sukar bagi mereka mencontohi pemain beberapa negara Arab yang turut beraksi pada Ramadan.

Beberapa jurulatih mengaku kepada penulis, sebahagian besar pemain sukar makan dengan kadar sederhana apabila berbuka puasa.

Apabila tidak mengawal pengambilan makanan, sudah pasti prestasi beberapa pemain turut terjejas apabila beraksi.

Di negara Arab seperti Arab Saudi yang beraksi pada Ramadhan, sepak mula mereka lebih lewat iaitu sekitar pukul 11.30 malam.

Pemain-pemain mereka juga turut mengawal kadar pengambilan makanan ketika berbuka.

Di negara-negara Eropah, sebelum ini terdapat beberapa pemain beragama Islam seperti Mesut Ozil yang mengaku secara terbuka sukar buatnya berpuasa jika beraksi pada Ramadan.

Waktu berpuasa di England dan Eropah sekitar 17 jam pasti lebih mencabar namun, terdapat pemain yang tetap berpuasa seperti Mohamad Salah.

Hakikatnya tidak semua pemain Muslim di Eropah mempunyai kecekalan yang sama seperti Salah.

Adakan Liga M secara bermusim:

Satu kaedah untuk tidak melangsungkan Liga M pada bulan Ramadan ialah dengan mengadakan liga secara bermusim berbanding tahunan seperti kini.

Liga mungkin boleh dimulakan sekitar pertengahan atau lewat tahun dan berakhir pada bulan Jun.

MFL boleh mengatur jadual secara lebih tersusun jika liga dianjurkan secara bermusim.

Setiap pasukan juga boleh menjalani pra musim lebih teratur jika liga dilangsungkan secara bermusim.

Liga secara bermusim juga akan membolehkan skuad kebangsaan beraksi di perlawanan antarabangsa mengikut kalendar antarabangsa FIFA.

Apa pun terserah kepada MFL mengambil pendekatan terbaik demi menjamin kelancaran saingan domestik kita.

Penulis tetap kekal dengan pendirian bahawa Liga M tidak wajar dilangsungkan pada bulan Ramadhan.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen