Viktor kalah tapi jawapan ada kelas  

Oleh Sharon Wee 30 June 2018 47012
Viktor kalah tapi jawapan ada kelas  
Kalah tidak apa, gaya dan kelas mesti ada.
 

Sesama sahabat selalu kita berjenaka pasal gaya, mutu dan keunggulan.
 
Apapun ini cerita tentang pemain nombor 1 dunia dan juara dunia Viktor Axelson tewas kepada idolanya Lee Chong Wei di suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2018 semalam.
 
Kali terakhir tewas kepada Chong Wei 9-21, 19-21 di peringkat kumpulan Piala Thomas, Bangkok pada Mei, pemain dari Odense, Denmark itu tampak tidak sihat apabila beraksi di Arena Axiata.
 
Chong Wei tekad capai kejuaraan ke 12 Terbuka Malaysia di hadapan penyokong kesayangan beraksi pada prestasi terbaik bermula pusingan pertama lagi dan tatkala pencabar terdekat Lin Dan dan Chen Long terkeluar awal, berdepan pemain Indonesia Tommy Sugiarto di separuh akhir yang dapat anda saksikan secara langsung di Astro Arena 802HD/801 hari ini, ramai yang meramal Chong Wei berpeluang menjuarai kejohanan.
 
Namun apa yang mencari tumpuan para peminat apabila Axelson ditemuramah oleh wartawan Nadi Arena selepas sahaja tewas kepada Chong Wei.
 
Axelson menunjukkan profesionalism, kematangan dan semangat kesukanan yang tinggi.
 
“Tiada alasan. Saya tewas kepada Chong Wei yang bermain lebih baik dari saya hari ini. Tidak begitu selesa dalam gelanggang kerana batuk tapi itu bukan alasan. Tiada alasan, Chong Wei sememangnya lebih baik daripada saya”.
 
Berkomunikasi dengan bijak dan lancar dalam temuramah adalah antara perkara yang boleh diperbaiki oleh atlet Malaysia.
 
Suka atau tidak itu mencerminkan siapa atlet itu sendiri dan dari negara mana dia datang.
 
Jadi jawab cantik sikit. Jaga kelas negara dan diri.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen