Versi baru Peng Soon, Liu Ying yang dinantikan Malaysia

Oleh Suzana Basri 14 January 2019 569
Versi baru Peng Soon, Liu Ying yang dinantikan Malaysia
Pada pandangan mata kasar, tiada perbezaan ketara dipamerkan beregu campuran, Chan Peng Soon/ Goh Liu Ying pada kempen pertama mereka selepas meninggalkan skuad kebangsaan pertengahan Disember lalu berbanding ketika bernaung dibawah Persatuan Badminton Malaysia, BAM.

Mungkin hanya penampilan Liu Ying yang sinonim dengan pemakaian aksesori anting-anting ketika beraksi, kelihatan semakin ayu menghayun raket ke kiri dan kanan gelanggang, disamping Peng Soon yang tampak lebih tenang bertindak sebagai 'mastermind' mengawal rentak permainan mereka. 

Kelainan sebenarnya terletak pada kecekalan hati pasangan yang mula bersama pada 2009 ini. Sorakan gemuruh para penyokong yang membanjiri Stadium Tertutup Huamark hampir tiada kesan langsung buat Peng Soon/ Liu Ying, ketika menentang pasangan tuan rumah, Dechapol Puavaranukroh/ Sapsiree Taerattanachai di final Kejohanan Masters Thailand.

Tipu, jika tekanan langsung tidak kelihatan pada pasangan yang muncul satu-satunya beregu campuran negara yang memenangi pingat di pentas gah Sukan Olimpik. Semua sedia maklum, persembahan buruk mampu memberikan mereka mimpi ngeri - kemungkinan berdepan kecaman netizen dan pengamal sukan diatas keputusan bergerak sendiri.

Keserasian yang menjadi faktor-X sekali lagi membantu Peng Soon-Liu Ying di Bangkok - sama seperti ketika mereka menjulang kejuaraan di kejohanan ini pada tarikh 13 Januari 2018 selepas 8 bulan terpisah. Ironinya genap setahun, pentas sama berjaya ditawan buat kali kedua - mencetak sejarah pertama kali beregu no.6 dunia ini mempertahankan kejuaraan sejak digandingkan bersama. 

Kini, langkah seterusnya dalam dunia profesional buat Peng Soon-Liu Ying pastinya lebih sentimental. Peng Soon-Liu Ying bakal beraksi di hadapan penyokong sendiri buat kali pertama sebagai beregu campuran profesional. Apakah nota kemenangan akan mengiringi Peng Soon-Liu Ying di Masters Malaysia yang akan bermula 15 Januari?

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen