Ujian Sebenar Solskjaer

Oleh Dayang Zainatull 8 January 2019 7424
Ujian Sebenar Solskjaer
Mengharungi lima perlawanan terakhir Manchester United di bawah bimbingan Ole Gunnar Solskjaer adalah satu perasaan yang amat menyeronokan bagi peminat setia The Red Devils.

Kesemua perlawanan berakhir dengan kemenangan dan apa yang lebih mengujakan adalah corak permainan yang diterapkan oleh pengendali dari Norway itu. Serang, serang dan terus menyerang secara tidak langsung mengembalikan semula perasaan seperti melihat aksi United di bawah bimbingan Sir Alex Ferguson.

Jumlah 16 gol yang telah dijaringkan dalam lima perlawanan terakhir juga menyelesaikan masalah kebuntuan jaringan gol di bawah bimbingan Jose Mourinho. Pemain seperti Marcus Rashford, Anthony Martial, Ander Herrera dan Paul Pogba dilihat tampil begitu berbeza di atas padang apabila diberi kepercayaan berada dalam kesebelasan utama. Semangat sepasukan juga berbeza apabila setiap pemain memberikan lebih dari 100 peratus pada sesi latihan untuk merebut tempat bermain dalam setiap perlawanan.

Namun harus diingat, kesemua pasukan yang ditewaskan dalam lima perlawanan terdahulu bukanlah pasukan elit. Pertemuan hujung minggu ini boleh dikatakan ‘bertemu buku dengan ruas’ apabila United akan berkunjung ke Stadium Wembley berdepan Tottenham Hotspur. Spurs kini berada di tangga ketiga liga dengan 48 mata dan ini merupakan ujian pertama Ole Gunnar Solskjaer berdepan pasukan hebat. 

Untuk rekod, United tewas 0-3 di Old Trafford Ogos lalu di tangan Spurs dan sudah pasti tidak mahu tumbang sekali lagi di tangan lawan yang sama. Jika situasi kedua-dua pasukan diambil kira, pertemuan ini dijangka akan sengit dan pasukan yang berjaya memanfaatkan peluang akan muncul pemenang.

Dayang sejujurnya teruja mahu menyaksikan perlawanan ini kerana selain dari faktor pertemuan pasukan elit, faktor individu melibatkan jurulatih juga menarik perhatian Dayang. Pengendali Spurs, Mouricio Pocchetino antara nama yang disebut-sebut untuk menggantikan tempat Solskjaer apabila tamat musim 2018/2019 nanti, tetapi andai taktikal Solskjaer mampu menumbangkan Spurs, pasti situasi akan berbeza. 

Selaku peminat setia, Dayang lebih suka andai khidmat Solskjaer terus kekal di Old Trafford memandangkan beliau setakat ini dilihat begitu memahami falsafah bola sepak di Manchester United. Anda pula bagaimana?

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen