Ubi muda ada kelas

Oleh Dayang Zainatull 15 August 2019 1421
Ubi muda ada kelas
Selepas kejayaan skuad bola sepak negara bawah 15 tahun muncul juara menumbangkan Thailand di pentas Kejohanan AFF B-15, kini giliran skuad bawah 18 tahun pula yang sedang mengorak langkah kanan dalam saingan Kejohanan AFF B-18 di Vietnam.

Bermula hambar dalam perlawanan pertama 7 Ogos lalu apabila tewas 1-0 kepada tuan rumah, Vietnam, skuad bimbingan Brad Maloney tidak lagi menoleh ke belakang apabila bangkit membenam Singapura 3-1 dalam perlawanan kedua.  Malaysia yang memegang status juara bertahan pada edisi terdahulu terus cemerlang apabila menidakkan cabaran Kemboja 3-0. 

Namun, apa yang paling mengejutkan sudah tentu pada perlawanan 13 Ogos lalu, pada saat banyak pihak beranggapan keputusan seri sudah cukup bertuah buat Malaysia, tetapi skuad negara dengan bersahaja menidakkan keupayaan Australia apabila mengutip tiga mata berharga hasil kemenangan 3- 0.

Secara tidak langsung, tumpuan semua peminat bola sepak Malaysia kini terarah kepada perlawanan terakhir di mana Malaysia akan berdepan Thailand yang akan ditunjukkan secara langsung di Astro Arena. Dua lagi perlawanan dalam Kumpulan B adalah melibatkan Singapura lawan Australia, Vietnam lawan Kemboja dan kesemua perlawanan akan berjalan serentak memandang tiga pasukan teratas, iaitu Malaysia, Australia dan Vietnam masih berpeluang mara ke separuh akhir.

Selain itu, beberapa nama pemain Malaysia yang menyerlah sudah mula menarik beberapa kelab dari luar negara antaranya Luqman Hakim, Firdaus Khaironnisam dan Firdaus Irman. Lihat sahaja kualiti yang mereka miliki, jika anda menyaksikan kesemua aksi mereka dalam setiap perlawanan, keberanian dan ketenangan mereka di atas padang wajar diberikan pujian. 

Malah, jaringan pertama dan kedua sewaktu berdepan Australia boleh dikategorikan sebagai gol daripada seorang pemain senior professional dan bukannya budak yang berusia 18 tahun. 

Tidak hairanlah, skuad yang hanya menyasarkan untuk layak ke separuh akhir, kini mungkin diangkat untuk menjadi calon juara bagi edisi kali ini.

Biarpun di atas kertas, Malaysia dilihat mampu menang mudah ke atas Thailand yang masih belum mencatatkan sebarang kemenangan, namun Dayang berharap agar ubi muda negara tidak lena dibuai mimpi kerena sebenarnya perjuangan mereka baru sahaja bermula.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen