Tugas getir buat Malaysian Tigers

Oleh Mirnawan Nawawi 15 April 2018 4269
Tugas getir buat Malaysian Tigers
Skuad hoki lelaki negara tidak seharusnya cepat berasa gembira dengan kejayaan mereka mendapat tempat kelima Sukan Komanwel Gold Coast 2018 di Australia.

Tempat kelima menyaksikan Malaysian Tigers berjaya mencapai sasaran memperbaiki kedudukan ketujuh diraih mereka sewaktu Sukan Komanwel Glasgow 2014 di Scotland.

Biarpun ia satu pencapaian memberangsangkan tetapi beberapa keputusan perlawanan sepanjang kempen di Gold Coast menjadi kebimbangan menjelang dua kejohanan besar selepas ini, iaitu Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Piala Dunia 2018.

Antaranya ialah prestasi pasukan ketika menentang pasukan handalan Eropah seperti England sering menjadi masalah buat skuad negara terutama selepas tewas 0-7.

Apatah lagi sewaktu perlawanan itu skuad negara langsung gagal menyerang atau melakukan percubaan tepat mahu pun mendapatkan pukulan sudut penalti ke atas England.

Malah, ini adalah kali kedua dalam tahun ini sahaja menyaksikan gawang skuad negara dibolosi tujuh gol oleh England dengan kali pertama sewaktu tewas 2-7 pada Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh baru-baru ini.

Barisan kejurulatihan dan pemain perlu mencari satu ramuan baharu bagaimana cara untuk merapatkan jurang dengan England dan ranking pertama dunia, Australia yang sekali lagi berjaya menjuarai Sukan Komanwel 2018.

Mungkin salah satu cara terbaik buat skuad negara ialah memperbanyakan aksi-aksi persahabatan menentang negara-negara dalam kelompok 10 terbaik dunia seperti England dan Australia.

Perlu diingat, Malaysian Tigers diundi dalam 'kumpulan maut' dalam Piala Dunia 2018, iaitu Kumpulan D bersama-sama dua jaguh handalan Eropah, Jerman dan Belanda serta musuh tradisi Asia, Pakistan.

Dalam perkembangan sama, Pakistan tidak boleh dipandang rendah kerana mereka kini di bawah kendalian ketua jurulatih baharu dari Belanda, Roelant Oltmans, yang sentiasa mempunyai cara tersendiri untuk menyekat skuad negara.

Ia terbukti apabila Pakistan merekodkan empat perlawanan tanpa kalah termasuk seri 1-1 dengan skuad negara dalam peringkat kumpulan.

Selain Pakistan, skuad negara juga tewas kepada satu lagi musuh tradisi Asia, iaitu India sekali gus menjadikan cabaran mereka pada Sukan Asia 2018 nanti amat sukar.

Satu lagi pasukan yang mampu memberikan cabaran sengit kepada skuad negara pada Sukan Asia 2018 ialah Korea Selatan yang turut menyasarkan pingat emas untuk layak automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Saya difahamkan Malaysian Tigers selepas ini akan menghadapi beberapa siri perlawanan persahabatan dengan juara Sukan Olimpik 2016, Argentina dan Australia.

Pendedahan demi pendedahan bermain perlawanan berkualiti tinggi semestinya akan membantu prestasi para pemain untuk Sukan Asia 2018 dan Piala Dunia 2018.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen