Tuah wartawan baru

Oleh Adam Zamri 29 August 2017 476
Tuah wartawan baru
16 tahun lalu, saya langsung tidak pernah terfikir yang saya akan jadi sebahagian daripada warga pewarta sukan, kerana ketika itu kehidupan saya berkisarkan kartun dan juga hal-hal picisan seorang kanak-kanak yang naif.

Namun ketika itu saya tahu bahawa Malaysia sedang menganjurkan Sukan SEA di ibu kota, ramai orang begitu kecewa selepas Malaysia tumpas kepada Thailand dalam perlawanan akhir bola sepak. Itu sahaja yang memori yang saya ada jika ada insan bertanya " apakah kenangan anda ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah Sukan SEA 2001?"


Pejam celik pejam celik, kini saya menjadi sebahagian daripada warga penulisan sukan di Malaysia, membawakan laporan-laporan penting mengenai atlit tempatan kepada umum, daripada perihal atlit sakit kaki sampailah atlit nak melangsungkan perkahwinan, semua itu dirangkumkan dalam berita Nadi Arena. Tugas hakiki saya sejak setahun enam bulan yang lalu.

Menjadi penghormatan buat saya apabila mendapat peluang menjadi sebahagian daripada warga kerja di Bilik Berita Astro Arena, bersama Bazly Azmi, mahupun Ahmed Shahrazad Sani, dan rakan-rakan sekerja lain, untuk membawakan liputan Sukan SEA KL 2017. Jujur ini merupakan kali pertama saya membuat liputan temasya sukan yang besar, jadi dada berombak dan mulut kucar kacir sudah pasti ada.

Namun agaknya tuah budak baru, saya diberikan sekali lagi peluang untuk membuat liputan tentang emas pertama Malaysia di Sukan SEA edisi ini, chinlone menerusi acara linking. Sebenarnya ramalan emas pertama itu sudah pun dilakukan sejak sebulan sebelum Sukan SEA berlangsung, namun cabarannya adalah memahami bagaimana sukan itu dimainkan supaya senang saya hendak melaporkan kepada rakyat Malaysia. Terima kasih saya ucapkan kepada jurulatih chinlone negara, Mohd Yusoff Abdullah dalam memberi maklumat tentang sukan yang kian lama makin dikenali rakyat Malaysia.

Masakan tidak, ramai juga yang menanyakan ini sepak takraw yang bagaimana? kenapa dimainkan dalam bulatan? Sepak sepak macam tu pun dah boleh emas? dan pelbagai lagi soalan yang saya perlu hadapi oleh pelbagai pihak.

Dan selepas hampir dua minggu Sukan SEA berlangsung, dengan tidak disangka sekali lagi, saya berada di Dewan 10, MITEC untuk sukan gimrama. Amy Kwan Dict Weng menjadi penyumbang emas ke-100 untuk kontinjen Malaysia. Sebelum itu, saya lebih banyak membuat liputan sukan ping pong, tinju, wushu dan juga snooker, langsung tiada pengalaman membuat liputan sukan gimrama. 

Menjadi yang pertama membuat liputan emas Sukan SEA KL 2017, dan juga emas ke-100 Malaysia, ia ibarat memenangi loteri. Mungkin saya terpaksa menunggu 16 tahun, jika Malaysia sekali menjadi tuan rumah dan mendapat peluang sama seperti edisi 2017, wohaa !!
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen