Tuah bola jaring dengan jurulatih baru

Oleh Nur Amira Ibrahim 4 March 2019 1047
Tuah bola jaring dengan jurulatih baru
Tahniah buat pasukan bola jaring negara apabila berjaya menjuarai Kejohanan 4 Negara di Hong Kong pada Sabtu.

Ini merupakan kejayaan sulung skuad bola jaring negara apabila kali terakhir raih podium adalah ketika Kejohanan Asia tahun lalu di tempat ketiga ketika di bawah kendalian jurulatih, Choo Kon Lee.

Tahun ini, mereka menerima kembali kehadiran jurulatih dari Australia, Tracey Robinson, yang kembali membimbing pasukan bagi persiapan Sukan SEA Filipina penghujung tahun ini.

Robinson hadir di Malaysia dan mula melatih skuad negara pada minggu lalu sebelum mereka berangkat ke Hong Kong Selasa lalu.

Pastinya kejayaan meraih gelaran sulung pada tahun ini menjadi pembakar semangat buat mereka untuk harungi persiapan yang lebih rapi menjelang temasya Sukan SEA edisi ini kerana Robinson dalam fasa untuk membentuk kembali pasukan dengan lebih unggul apabila Malaysia pastinya akan diperhatikan oleh pencabar-pencabar dari negara Asia Tenggara lain untuk merampas emas di Filipina.

Namun, kita pastinya tidak boleh melupakan khidmat Kon Lee juga yang telah mengambil alih pasukan ini sejak setahun lalu selepas ketiadaan Robinson khususnya bagi membentuk pemain-pemain muda lain.

Apa yang pasti, kita tetap mengharapkan gadis-gadis manis yang pernah cetus kejutan ketika Sukan Sea Kuala Lumpur lalu, kembali lagi memberi senyuman untuk kita melepaskan rindu kepada sukan ini yang pernah menambat hati penonton di kaca televisyen Astro Arena dengan perlawanan secara langsung pada Ogos 2017.

Teruskan usaha!

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen