Transformasi England

Oleh Burn Thevandran 12 September 2019 1671
Transformasi England
Skuad England tampil cemerlang dalam dua perlawanan Kelayakan Euro 2020 apabila membenam Bulgaria 4-0 dan menumbangkan Kosovo 5-3. Ini sekalgus meneruskan rentak cemerlang England yang menang kesemua perlawanan untuk membimbing Kumpulan A dengan 12 mata, tiga mata mengatasi Republik Czech.

Skuad England yang terkini dibarisi ramai pemain muda dengan hanya Tim Heaton dan Kieran Trippier sahaja yang berusia melebihi 28 tahun. Perkembangan ini dilihat amat positif buat mereka yang dilihat mempunyai peluang terbaik untuk menyinar dalam Euro 2020 dan Piala Dunia 2022.

Jentera serangan The Three Lions dilihat cukup bertenaga apabila mempunyai pemain seperti Harry Kane, Raheem Sterling, Marcus Rashford dan juga bintang sedang meningkat naik, Jadon Sancho. Ketajaman penyudah England memang tidak boleh dipertikaikan dan Gareth Southgate ternyata amat berpuas hati dengan keupayaan pemain di barisan serangan.

Dalam pada itu, pengendali muda itu turut berhasrat membawa masuk semula penyerang Leicester City, Jamie Vardy, yang beraksi cemerlang dalam saingan liga. Dengan tiga gol dijaringkan dalam empat perlawanan liga, Southgate percaya pintu sentiasa terbuka buat Vardy yang sebelum ini pernah merancang mahu bersara di peringkat antarabangsa.

Di saat jentera serangan England mendapat pujian, sedikit kegusaran dapat dilihat di barisan pertahanan. Ini merupakan kali pertama dalam tempoh 12 tahun mereka bolos tiga gol di laman sendiri. Hal ini dibantu oleh kesilapan dua pemain tonggak England, Michael Keane dan Harry Maguire.

Kesilapan hantaran Keane seawal minit pertama menyaksikan pemain lawan berjaya menewaskan Pickford dan pertahanan termahal dunia, Maguire, menghadiahkan sepakan penalti kepada Kosovo selepas melakukan asakan ke atas pemain lawan.

Bagaimanapun, secara keseluruhan, penulis percaya skuad England kini sedang menjalani transformasi kepada sesuatu yang baik dan tidak mustahil skuad ini mampu pergi jauh dalam kejohanan utama dunia.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen