TMJ – di FAM atau FMLLP?

Oleh Rizal Hashim 18 March 2018 22568
TMJ – di FAM atau FMLLP?
Bukanlah rahsia presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan pengerusi Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) tidak lagi individu yang sama apabila Kongres FAM bersidang pada 25 Mac. 

Statut FAM akan dipinda agar presiden FAM tidak semestinya menerajui FMLLP.
                                                                                                                                                                       
 Baru-baru ini pula, Presiden FAM, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ), membayangkan meletak jawatannya yang baru diisi pada 2017. Ini mengundang kebimbangan banyak pihak, termasuk ahli jawatankuasa eksekutif FAM serta Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
 
Spekulasi bertiup kencang Tunku Ismail akan memberi tumpuan kepada FMLLP dan mengosongkan kerusi panas FAM.
 
Ini bagi mengelak sebarang konflik kepentingan.
 
Dalam majalah Four-Four-Two edisi Julai 2016, penulis berkongsi pendapat bahawa FMLLP terpaksa akur dengan perintah FAM dalam banyak aspek.
 
Lupakah kita apabila Ketua Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam, memberi amaran tindakan diambil terhadap pasukan yang tidak membayar gaji, ia disambut dengan amarah oleh pemimpin pasukan terbabit?
 
Dalam Forum Real Friends pada awal 2016, Kevin memaklumkan peserta dan hadirin bahawa FMLLP kekal di bawah naungan FAM disebabkan dasar badan itu tidak boleh mengabaikan kepentingan pasukan kebangsaan.
 
“Liga yang dikendalikan oleh badan yang bebas daripada FAM akan merangka dasar yang tidak mengambil kira kepentingan pasukan kebangsaan,” katanya dalam forum itu.
 
Waktu itu FMLLP diterajui Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, dengan timbalan presiden, Datuk Seri Afandi Hamzah dan Datuk Abdul Mokhtar Ahmad serta Datuk Seri Norza Zakaria dan Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai ahli lembaga eksekutif.
 
Dalam mewujudkan sinergi di antara FAM dan FMLLP, penulis kerap membangkitkan isu atau dilema utama – membentuk sebuah liga yang kompetitif bercirikan komersial atau mewujudkan sebuah pasukan kebangsaan yang disegani?
 
Dalam analisis akhir, jikapun Liga M mampu dan boleh melahirkan dua atau tiga pasukan bertaraf ACL dengan kebanjiran tenaga import, peminat secara umum menghakimi FAM dan penggiat bola sepak tempatan mutu permainan pasukan kebangsaan.
 
Wajah dan maruah negara diwakili sekelompok manusia yang bergelar pemain kebangsaan.
 
Mengurus FAM menuntut kerjasama semua pihak berkepentingan – daripada pemain remaja, ibu bapa, jurulatih di peringkat sekolah atau pengendali kelab swasta sehingga pembuat dasar peringkat elit.
 
Menerajui FMLLP pula harus dianggap lebih mudah kerana struktur pertandingan yang sedia ada. Dengan suntikan dana daripada penajaan menghampiri RM100 juta membabitkan hak penyiaran, Kongres Liga yang dianggotai 24 pasukan dalam Liga Super dan Liga Perdana sedar mereka dibantu daripada sudut kewangan.
 
Kita biasa memandang England sebagai pedoman. Kejayaan Liga Perdana Inggeris yang diwujudkan pada 1992 menyusul selepas Liga Inggeris yang sememangnya terkenal melahirkan kelab bergelar juara di Eropah.
 
Namun, England tidak pernah memenangi sebarang gelaran di pentas antarabangsa sejak menjulang Piala Dunia di kandang sendiri pada 1966 dan sentiasa bergelut dalam kejohanan utama sehinggalah program pembangunan FA England dengan kerjasama kelab naungan FAPL, iaitu badan yang mengurus liga, membawa hasil akhir-akhir ini.
 
Sepanjang 2017, pasukan bawah umur England mencatat kejayaan menakjubkan. Mereka bergelar naib juara Kejohanan Eropah UEFA Bawah 17 tahun, juara Kejohanan Jemputan Toulon Bawah 20 tahun, juara Piala Dunia FIFA Bawah 20 tahun, mara ke separuh akhir Kejohanan Eropah UEFA Bawah 21 tahun, juara Kejohanan Eropah UEFA Bawah 19 tahun disudahi dengan gelaran juara Piala Dunia FIFA Bawah 17 tahun.
 
Di bawah kepimpinan Tunku Ismail, FAM dan FMLLP cenderung melihat Sepanyol sebagai rujukan, namun Persekutuan Bola Sepak Diraja Sepanyol (RFEF) hanya menikmati kejayaan di pentas antarabangsa selepas muncul juara Eropah pada 2008 dan 2012, serta bergelar juara dunia pada 2010 meskipun Real Madrid menakluki Eropah seawal dekad 1950-an.
 
Ini menggambarkan bahawa benih yang disemai memakan masa untuk menjadi pohon yang berbuah.
 
Pada dasarnya, FAM harus fokus kepada bola sepak untuk umum, akar umbi, bekerjasama dengan KBS membangunkan futsal dan bola sepak untuk orang kelainan upaya, bola sepak wanita, pembangunan pengadil dan liga sosial, dibantu rakan penaja dan komersial di semua peringkat serta memastikan falsafah dan DNA yang ditetapkan disampaikan sehingga ke peringkat paling bawah.
 
Ringkasnya, mewujudkan budaya bola sepak di semua peringkat adalah tugas dan tanggungjawab FAM. Memastikan struktur pertandingan di semua peringkat agar ia membantu membudayakan bola sepak juga adalah tugas FAM.
 
TMJ sedar satu cara mengubah FAM ialah dengan memperkasakan FMLLP. Namun, ia sekadar menguatkan yang sudah kuat, tanpa memberi bantuan kepada yang benar-benar memerlukan serta tidak mengubah minda dan struktur sedia ada.
 
Dalam FAM, TMJ sudahpun membuat beberapa keputusan drastik – menggugurkan Frank Bernhardt dan menggantikannya dengan Datuk Ong Kim Swee yang diturunkan pangkat, kemudian melantik Nelo Vingada yang akhirnya meletak jawatan lalu diganti oleh Tan Cheng Hoe, serta memilih Bojan Hodak menerajui skuad Bawah 19 tahun.
 
Ini menampakkan TMJ tidak takut membuat keputusan, sama ada ia popular atau tidak.
 
Kepimpinan ini yang diperlukan dalam FAM. Tidak ramai tokoh yang memiliki visi, misi dan keberanian untuk membawa perubahan. Melanggar tradisi, memecah tembok mental dan berfikir di luar kotak kebiasaan sudah menjadi tabiat semula jadi TMJ.
 
Adalah jelas FAM, bukan FMLLP, lebih memerlukan TMJ.
 
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen